suria

Contohi Kerja Keras Sofea Jane

Sofea Jane
Sofea Jane
Sofea Jane

PADA Hari Raya ketiga yang lalu, saya berborak panjang dengan pelakon Datin Sofea Jane di rumah seorang wartawan di Pulau Pinang.

Saya dah lama tak jumpa Sofea. Percaya atau tidak dah dekat 10 tahun. Tapi dia tidak pernah lupa dengan saya. Saya sempat bertanya, ke mana menghilang selama ini? Senyap sunyi macam orang bisu. Kata Sofea, dia ada.... tapi jarang-jarang muncul.

Saya berkata, wajahnya masih “maintain”, angun dan jelita. Takkan tak ada tawaran berlakon yang datang menyusul?

Sofea tersenyum. Katanya, tawaran datang berlambak tetapi dia terpaksa menolak. Alasannya, dia harus memilih semua tawaran berlakon yang diperolehnya. Tidak semua tawaran itu dia perlu terima bulat-bulat. Saya faham benar maksud kata-kata itu. Sebagai primadona hebat seperti Sofea, adalah wajar dia memilih watak yang diberi.

Dia memerlukan watak yang lebih mencabar daripada menjadi orang gaji atau seorang ibu.

Dan saya agak terkejut apabila Sofea memberitahu dia baru selesai mengikuti bengkel perfileman dan penulisan skrip yang dianjurkan Finas.

Walaupun sudah mahir dalam industri perfileman, dia masih mahu belajar untuk memperkukuhkan kemahirannya dalam bidang seni.

Sayang sekali artis-artis baru yang sibuk hendak jadi pelakon tak pernah ada inisiatif untuk memperkukuhkan kemahiran masing-masing.

Sebab itulah hari ini kuantiti pelakon itu melebihi daripada bilangan mereka yang benar-benar berkualiti.

Saya menerima pandangan Sofea, ilmu dalam dunia lakonan hendaklah dipertingkatkan oleh semua pelakon pada setiap masa.

Hasilnya, watak yang dilakonkan dalam sesebuah filem oleh artis yang benar-benar hebat akan dikenang sampai bila-bila.

Tengoklah macam mana filem-filem P.Ramlee yang kita ingat judulnya. Begitu juga filem-filem zaman 80-an dan 90-an yang masih kekal dalam ingat kita termasuklah filem lakonan Sofea sendiri iaitu Isteri, Perempuan dan...

Hari ini, filem mana yang mampu kita ingat judulnya? Dan dalam masa lima tahun akan datang, kita akan terus melupakan filem-filem yang ada pada hari ini disebabkan kualiti pelakon dan filem yang dihasilkan gagal memberi impak kepada penonton.

Maka ilmu itu perlu terus digali. Jangan jadi pelakon yang sekadar ingin meraih glamor kerana pelakon yang macam itu tak boleh ke mana.

Tindakan Sofea yang masih mengejar ilmu ketika zaman kegemilangannya telah berakhir membuktikan bagaimana dia melihat dirinya masih lagi terdapat banyak kekurangan.

Dan dek kerana kerja keras seperti itulah, siapa yang tak kenal dengan wanita bernama Sofea Jane dalam industri perfileman sehingga hari ini.

NIEZAM: Dah kenal tapi macam tak ada apa apa... hehehe :)

Antara Othman Hafsham, Yusof Haslam & Syamsul

SAYA terbaca pengakuan pengarah filem iaitu Othman Hafsham yang mengakui kegagalan filem komedinya Karipap Karipap Cinta (KKC) di pawagam kerana skil pengarahan dan ideanya yang lama.

Kita semua tahu kehebatan Othman menghasilkan filem-filem komedi sebelum ini seperti Adik Manja (1979) dan Mekanik (1983). Juga filem seram iaitu Rahsia (1987). Tidak ketinggalan drama komedi beliau iaitu Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Sayangnya kali ini buah tangan Othman sudah tidak menjadi. Filem yang menelan belanja RM1.8 juta itu dipandang sepi oleh penonton sebaliknya filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham yang mendapat kutipan tertinggi.

Kekecewaan Othman kerana ketidakmampuannya menarik perhatian penonton dengan trend yang dia bawa dalam filem berkenaan.

Sentuhan dan kreativiti Othman nampaknya tidak sehebat dulu. Dia sendiri mengakui perkara itu.

Saya tabik dengan orang seperti ini yang tidak melihat kelemahan karyanya terletak kepada orang lain walaupun ada yang berpendapat KKC gagal kerana adanya Gambit, pelakon yang “dibenci” kerana banyak sangat kontroversi.

Othman mengakui kesilapannya tetapi dalam masa yang sama saya melihat dia hebat dan berani kerana mahu bersaing dengan pengkarya yang lebih muda dari segi corak pemikiran dan idea.

Saya juga pernah berbual dengan Datuk Yusof Haslam. Kata Yusof, idea dia dan anaknya Syamsul selalu tak betul.

Dia nak macam ini, Syamsul nak macam itu. Mereka selalu bergaduh. Syamsul pernah berkata idea ayahnya adalah idea orang tua.

Akhirnya apabila filem-filem arahan Syamsul berjaya mendapat kutipan Boxoffice, Yusof akhirnya akur dengan perkara itu.

Malah kata Yusof, sekarang dia kena dengar cakap Syamsul kalau mahu bikin filem kerana hari ini corak pemikirannya tidak sama berbanding orang muda berfikir.

Pada saya, kalau orang yang sudah “tua” seperti Yusof dan Hafsham mahu menghasilkan karya seperti naskhah orang muda, ia tidak salah asalkan mereka perlu belajar menjadi bagaimana orang muda berfikir. Itu saja...

Antara Othman Hafsham, Yusof dan Syamsul, tiada bezanya. Mereka semua adalah pengarah filem tetapi Yusof dan Hafsham perlu tahu macam mana orang seperti Syamsul berfikir.

Dalam masa yang sama Syamsul juga harus tahu, idea orang-orang lama tidak semestinya lapuk.

NIEZAM: Berfikir untuk jadi kaya...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain