suria

Program Transformasi Kedai Runcit Tingkatkan Jualan Hingga 25%

KUALA LANGAT: Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) berjaya membantu pemilik kedai berkenaan meningkatkan jualan harian mereka sehingga 25 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G.Palanivel.

Menurut beliau, ini kerana pemilik kedai runcit di bawah program TUKAR mewujudkan persekitaran yang lebih selesa kepada pelanggan dan ia membantu mereka meningkatkan keyakinan pelanggan dan jualan.

"Jualan harian sesetengah pemilik kedai runcit yang menyertai program TUKAR di Melaka meningkat lebih RM3,000 sebulan.

"Pendapatan kebanyakan pekedai India meningkat dengan bantuan program TUKAR, sebahagiannya disebabkan tawaran produk pada harga diskaun," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Mini Sri Chakkra di Telok Panglima Garang di sini, Khamis.

TUKAR merupakan program 10 tahun mentransformasi kedai runcit dengan bantuan pasar raya besar seperti Mydin, Carrefour dan Tesco, selain Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi program itu tahun ini, dan peruncit akan ditawarkan pinjaman mudah antara RM20,000 hingga RM60,000.

Meskipun diubah suai dan lebih tersusun, kedai berkenaan masih mampu menawarkan barangan pada harga kompetitif kerana ia diperoleh daripada pembekal pada harga yang rendah.

Palanivel, yang juga presiden MIC, berkata parti itu kini membantu pekedai India berskala kecil di negara ini agar lebih berdaya maju dalam komuniti barangan komersial.

Beliau berkata, MIC menyasarkan sejumlah 100 kedai runcit mengambil bahagian dalam program TUKAR menjelang hujung tahun ini.

Sementara itu, K.Selvaraju, 33, yang menguruskan Kedai Runcit Sri Chakkra bersama abangnya sejak 11 tahun lepas, berkata perniagaan itu semakin berkembang sejak kedai mereka diubah suai dengan bantuan Tesco di bawah program TUKAR.

Beliau berkata, secara purata, kedai mereka mencatat peningkatan jualan lebih 25 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain