suria

Dua Sahabat Maut Dalam Kemalangan Di Jeli

JELI: Hasrat tiga sahabat untuk memancing ikan kelah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 88.3 Jalan Kota Baharu-Grik, berhampiran Gemang, Ayer Lanas pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Sheik Azhar Sheik Omar berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Zazemi Mat Jusoh, 27, dan Aniq Arshad Mohd Roseli, 20-an.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi, ketika tiga sahabat itu, yang membawa kenderaan masing-masing, berkonvoi menuju ke Banding, dan ketika dalam perjalanan, kereta Perodua Kancil yang dipandu Zazemi dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori mengangkut tilam dan diseret kira-kira 35 meter.

"Sementara itu, Aniq Arshad yang menunggang motosikal, merempuh kedua-dua kenderaan tersebut," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan Zazemi, yang berasal dari Bukit Gading, Tanah Merah dan rakannya, Aniq Arshad dari Kuala Krai, maut akibat kecederaan parah di seluruh badan, manakala pemandu lori tersebut, Abu Hassan Husin, 34, dan kelindannya, Karna Bahadut, 42, hanya cedera ringan.

"Seorang lagi rakan mangsa, Mohd Zaid Mohd Zamri, 17, yang turut menyertai konvoi itu dengan menunggang motosikal, sempat mengelak ketika kejadian itu," katanya.

Sheik Azhar berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Beliau berkata pemandu lori dan kelindannya membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di balai polis berdekatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Mohd Zaid berkata mereka bertiga merancang untuk pergi secara konvoi dengan membawa kenderaan masing-masing kerana lokasi tempat memancing tersebut hanya boleh dimasuki motosikal kerana jalannya sempit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain