suria

Remaja Orang Asli Mengaku Salah Bunuh Tanpa Niat

MARAN: Seorang remaja Orang Asli hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan iaitu membunuh tanpa niat adik kandungnya dan memiliki senjata api buatan sendiri.

Bagaimanapun Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali menetapkan 6 Sept depan bagi sebutan semula kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Bagi pertuduhan pertama, remaja berusia 15 tahun itu mengaku bersalah tertembak adik perempuannya yang berumur 10 tahun apabila senjata api yang sedang dibersihkannya selepas berburu babi tiba-tiba meletup sendiri.

Kejadian itu berlaku di rumah tidak bernombor di Kampung Bagas, Kuala Sentul, Maran pada 26 Julai lepas antara 7 malam dan 8.15 malam.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, remaja itu dituduh memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff. -BERNAMA

Artikel Lain