suria

Kuching Bakal Menjadi 'Bandaraya Puspa Warna' 10 Tahun Lagi

KUCHING: Bandaraya Kuching yang terkenal sebagai antara bandar raya paling besih dan tercantik dalam negara, bakal menjadi sebuah "bandar raya puspa warna" dalam tempoh 10 tahun lagi dengan adanya usaha untuk mewujudkan lebih banyak taman-taman bunga di persekitarannya.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata usaha kini giat dilakukan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk menambah lebih banyak lagi taman-taman bunga sekitar bandar raya, khasnya sekitar Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baru.

"Pihak DBKU bukan setakat mahu menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya sihat dan selamat untuk didiami, malah juga mahu menjadikan bandar raya ini sebuah taman puspa warna yang indah dengan pelbagai jenis tumbuhan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pameran orkid antarabangsa 2011 di Taman Orkid Kuching di sini Rabu.

Beliau berkata kawasan lapang seluas hampir 100 ekar sekitar kompleks DU NSarawak akan ditanam dengan lebih banyak lagi spesies bunga-bungaan dan tumbuhan hutan hujan tropika yang lain.

Menurutnya usaha untuk menganjur pameran orkid antarabangsa 2011 merupakan salah satu usaha untuk memperkenalkan keindahan alam semulajadi yang banyak terdapat di Sarawak selain untuk menarik perhatian dunia kepada Sarawak.

Dalam pada itu Datuk Bandar Kuching Utara Mohd Atei Abang Medaan berkata Taman Orkid Kuching kini mempunyai himpunan 150 spesies orkid termasuk spesies kacukan (hibrid).

Katanya, antara spesies kacukan yang terkenal adalah seperti spesies Vanda Taib, Dendborium Laila, Dendborium Memoria Laila, Dendborium Nur Zahirah dan yang terkini ialah kacukan Aranda Raghad Taib.

"Antara tarikan utama di Taman Orkid Kuching ialah spesies Lady Slippers, Vanda Dearei dan juga Orkid Normah yang menjadi bunga rasmi kerajaan negeri Sarawak," katanya.

Sebanyak 11 negara menyertai pameran orkid selama lima hari bermula Rabu di Taman Orkid Kuching iaitu Indonesia, Singapura, Taiwan, Thailand, Malaysia, Myanmar, Filipina, Jepun, Brunei, Hong Kong dan Papua New Guinea.- BERNAMA

Artikel Lain