suria

Premis Hiburan Haram Bercambah Bila Kerajaan Negeri Bekukan Pengeluaran Lesen - Ronnie Liu

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengakui wujudnya banyak premis hiburan yang beroperasi secara haram di negeri ini tetapi mempertikaikan yang jumlahnya sampai mencecah 4,000 premis.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri, Ronnie Liu berkata, beliau sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi membanteras perkara itu sekurang-kurangnya sekali pada setiap bulan.

"Pengeluaran lesen pusat hiburan dibekukan sejak tahun 2006 lagi oleh kerajaan negeri terdahulu dan polisi ini diteruskan oleh kerajaan negeri sekarang.

"Jadi pusat hiburan yang ada sekarang beroperasi dengan lesen yang diperolehi dari kerajaan negeri terdahulu dan saya tidak tahu menahu dengan dakwaan yang mengatakan pusat hiburan di Selangor ini begitu banyak," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Beliau menambah, kemunculan pusat-pusat hiburan haram ini jika benar sekali pun adalah kerana tindakan kerajaan negeri membekukan pengeluaran lesen baru pusat hiburan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak yang mengatakan terdapat lebih 4,000 tempat judi, hiburan dan spa beroperasi secara haram sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

Mengulas lanjut, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Ketua Polis Selangor (Datuk Tun Hisan Tun Hamzah), bilangan pusat hiburan di negeri itu adalah terkawal dan tidak membimbangkan.

"Saya mencabar pihak yang membuat dakwaan ini untuk memberikan saya data yang jelas mengenai isu ini dan jangan hanya tahu membuat dakwaan semata-mata," katanya.

Jelas beliau lagi, PBT tidak mempunyai kuasa untuk menangkap dan menghukum pemilik pusat hiburan haram itu.

"Semua kuasa untuk menangkap dan menghukum pemilik pusat hiburan haram ditangan pihak polis manakala PBT hanya boleh sita pusat hiburan ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya berhubung operasi pusat hiburan di negeri itu sepanjang bulan Ramadan akan datang, beliau berkata, ia akan beroperasi seperti biasa iaitu sehingga jam 1 pagi.

"Seperti biasa kita tidak benarkan pengunjung beragama Islam masuk dan semua orang tahu perkara ini," katanya.

Artikel Lain