suria

Sosilawati Singgah Ke Kedai Kerepek

SHAH ALAM: Jutawan Kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya didakwa telah singgah di sebuah kedai kerepek di Banting, dekat sini dan berbelanja lebih RM200 pada hari beliau dilaporkan hilang bersama tiga lelaki Melayu.

Bekas jurujual di Fazz Enterprise Sdn Bhd, Zurayina Jemaat, 27, berkata, Sosilawati yang dikenalinya menerusi iklan produk yang diasaskannya, Nouvelles Vissages di majalah Wanita.

Saksi pendakwaan ketujuh itu seterusnya memberitahu, Sosilawati tiba di kedai tersebut pada pukul 4 petang, 30 Ogos 2010 bersama seorang lelaki yang dipanggil 'Kamal'.

"Waktu mereka tiba, saya berada di bahagian dalam kedai dan saya nampak mereka sedang memilih kerepek. Mereka berada di kedai sejam 20 minit dan beredar pada pukul 5.20 petang," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Saksi yang dilihat tidak begitu selesa berada di kandang saksi, kemudiannya menafikan bahawa dia ada memberikan keterangan kepada pihak media berhubung kes tersebut pada 7 September 2010 semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon.

Dia yang dikenali sebagai Ina semasa bekerja di kedai berkenaan pada 1 Ogos hingga 8 September 2010 menambah, dia berkemungkinan tidak dapat mengingati kejadian itu yangt telah lama berlaku.

Jawapan itu menyebabkan Manjeet menyoal kembali mengapa dia boleh menjawab semua soalan yang diajukan oleh pihak pendakwaan, tetapi banyak memberikan jawapan tidak ingat kepada peguam.

"Saya minta maaf Yang Arif. Saya jawab apa yang saya boleh ingat sahaja, yang saya tidak ingat, saya tidak boleh jawab," katanya kepada Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahtar Tahir.

Manjeet seterusnya beralih ke soalan seterusnya dan merujuk kepada laporan oleh Bernama bertarikh 7 September 2010 menyatakan seorang pekerja di Fazz Enterprise, Ina telah memberi kenyataan bahawa Sosilawati dan Kamal telah ke kedai itu pada 2 September 2010, iaitu selepas hari mangsa didakwa dibunuh.

Zurayina: Tak benar, saya kata 30 Ogos 2010.

Manjeet: Mengapa kamu beri kenyataan tidak benar kepada media?

Pada saat itu, Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin bangun dan membantah soalan tersebut atas dakwaan perkara itu adalah dengar cakap kerana ia perlu ditujukan kepada wartawan yang menulis berita tersebut.

Bagaimanapun, Akhtar menolak bantahan tersebut dan meminta saksi menjawab soalan Manjeet menyebabkan Saiful Edris sekali lagi cuba untuk mengemukakan bantahan.

"Saya benarkan soalan itu. Saya telah membuat keputusan, jangan melawan dengan saya," kata Akhtar.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad, Zurayina mengakui bahawa dia tidak mengambil tahu tentang apa yang berlaku kepada Sosilawati kerana tidak membaca surat khabar mahupun menonton televisyen.

"Saya tidak baca surat khabar kerana pada waktu kerja saya tidak boleh membaca apa-apa," jawab saksi.

Jawapan itu menyebabkan Amer Hamzah menyifatkan saksi seorang pekerja yang baik, kerana tidak mecuri tulang untuk melakukan aktiviti lain di waktu bekerja. Beliau seterusnya menimbulkan jika saksi tidak membaca surat khabar di rumah.

Zurayina: Saya tidak baca kerana bila saya balik, saya sibuk dengan urusan rumah tangga, anak-anak dan masak. Saya tidak tonton televisyen.

Amer Hamzah: Saya sangat kagum dengan puan sebagai seorang wanita, pulang ke rumah dan menguruskan rumah tangga. Tidak membaca surat khabar dan tidak menonton televisyen.

Seterusnya, Amer Hamzah mencadangkan kepada Zurayina bahawa dia mempunyai memori terpilih kerana hanya dapat mengingati perkara yang dikhendaki, dan saksi bersetuju.

Bagaimanapun, saksi kemudiannya memberitahu, dia sebenarnya tidak memahami soaalan tersebut.

Pada perbicaraan kedua pada Selasa, juga menyaksikan seorang jurufoto polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Banting, Lans Koperal Mohd Fairol Adzuad Jaafar, 37, diasak oleh Amer Hamzah kerana sering memberikan jawapan 'tidak ingat'.

Mohd Fairol Jaafar memberitahu, dia mengambil gambar di tempat kejadian berdasarkan arahan oleh pegawai atasannya, Inspektor N. Govindan dan semasa itu, semua suspek yang berada di tempat kejadian dalam keadaan bergari.

Beliau juga menambah, daripada semua gambar yang diambilnya, hanya sebahagian sahaja yang dimasukkan ke dalam dokumen yang dikemukakan di mahkamah.

Amer Hamzah: Siapa yang buat pemilihan gambar?

Mohd Fairol: Tidak menjawab soalan.

Amer Hamzah: Siapa namanya? Adalah A. Govindan, B. Asisten Superintendan Ishak Yaakob (pegawai penyiasat), C. Timbalan Pendakwa Raya Ishak, D. Tiada dalam senarai di atas atau E. Ketua Polis Negara? Saya telah beri jawapan untuk dipilih?

Mohd Fairol: Masih tiada jawapan.

Cara Amer Hamzah menyoal dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani kerana menurutnya ia agak melampau kerana turut melibatkan nama Ishak yang mengetuai barisan pendakwaan.

Amer Hamzah kemudiannya menyatakan ia hanya sekadar jenaka.

Dalam kes ini, peguam N.Pathmanabhan, 42, dan tiga perkerja ladangnya, T. Thailayangan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 42: pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pada pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Rabu.

Artikel Lain