suria

LID 2011 Satu Kejayaan Besar

PUTRAJAYA: Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 yang melabuhkan tirainya pada Selasa dianggap amat berjaya, dengan rata-rata kalangan peserta menyuarakan penghargaan tidak terhingga diberi peluang berkongsi pengalaman pelbagai kejayaan yang diharungi Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata negara-negara peserta dilihat benar-benar mahu mencontohi dan membawa pulang kejayaan Malaysia dalam semua bidang ke negara masing-masing.

"Semasa pembentangan hasil lawatan ke lapangan semalam mereka kelihatan serius mahu melihat kejayaan Malaysia dan sedia belajar. Kesemua empat lawatan itu berjaya dan mereka sangat mengagumi Proton.

"Kita amat gembira mereka datang dari jauh dan mengakui kejayaan kita dalam pelbagai bidang termasuk perusahaan kecil dan sederhana," katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis penutup LID 2011 disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Abdullah bagaimanapun berharap agar konsep perkongsian bestari diteruskan dalam LID akan datang dan bersetuju dengan pandangan Najib bahawa perlaksanaan setiap rancangan yang dibuat adalah penting, dan bukan hanya sekadar mengadakan perbincangan atau mesyuarat.

Duta Besar Swaziland ke Malaysia Mpumelelo J N Hlope dalam menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia dan lain-lain rakan kongsi bestari berkata dialog itu merupakan satu kejayaan yang amat besar.

Beliau berkata sepanjang tiga hari, pemimpin-pemimpin Afrika berhimpun di Putrajaya dan berbincang mengenai banyak perkara serta isu dan hasilnya amat memberangsangkan.

"Perkongsian Bestari ini melihat kepada jalan dan cara untuk bergerak maju, dan yang paling hebat ialah dialog ini diperbaharui setiap kali ia diadakan. Dari satu sudut, dialog ini dilihat berjaya dijana dengan hebat, dan kita semua mendapat manfaat daripada Perkongsian Bestari ini," katanya.

Sementara itu Menteri Sains dan Teknologi Mozambique, Venancio Simao Massingue berkata beliau amat berpuas hati dengan hasil dialog, terutama dari aspek hubungan dengan semua peserta.

"Kami akan mula berbincang mengenai program-program kerjasama dua hala dalam sains dan teknologi dan kami jangka akan wujud lebih banyak jalinan hubungan antara negara-negara kami. Kami harap dapat lihat lebih banyak pertukaran saintis, program dan teknologi," katanya.

Beliau turut memuji Malaysia kerana menggunaka pakai konsep inovasi dan transformasi dalam erti kata sebenar, bukan hanya terhadap produk, tapi juga terhadap perkhidmatan dan proses-proses yang membawa kepada tadbir urus yang baik, dan hasil yang memberangsangkan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain