suria

Lagu Rasmi Wilayah Persekutuan Dipergiatkan Di Peringkat Institusi Pendidikan - Nong Chik

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mempergiatkan promosi lagu rasmi Wilayah Persekutuan terutamanya di peringkat institusi pendidikan.

Menterinya Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata lagu tersebut perlu dipromosikan untuk menerapkan semangat dan rasa tanggungjawab dalam menjaga keharmonian Wilayah Persekutuan.

"Tujuan utama kita supaya masyarakat lebih bersikap perihatin dan sayangkan Wilayah Persekutuan kerana kebanyakan penduduk datang ke sini (Wilayah Persekutuan) dan mencari sumber rezeki di sini," katanya kepada media selepas majlis Anugerah Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan di sini, Ahad.

Beliau berkata kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan jabatan-jabatan yang terlibat sama ada daripada pihak kerajaan atau swasta bagi menjayakan promosi lagu ini.

"Perbincangan akan diadakan dalam tempoh terdekat ini, bagaimanapun promosi ini harus bermula dari peringkat sekolah bagi mendidik pelajar-pelajar untuk cintakan Wilayah Persekutuan," katanya.

Lagu rasmi Wilayah Persekutuan iaitu 'Maju dan Sejahtera' dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain