suria

Biasiswa Khas JPA Pastikan Rakyat Sabah, Sarawak Tidak Ketinggalan

KOTA KINABALU: Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kabinet bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak Tan Sri Bernard Dompok berkata beliau hanya menerima beberapa rayuan dari kedua-dua negeri ini mengenai pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya beliau telah bercakap dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mempengerusikan mesyuarat mengenai biasiswa JPA hari ini dan akan mengemukakan nama-nama dan alasan rayuan itu pada Rabu.

"Saya tidak terima banyak rayuan dan malahan saya telah memasukkannya dalam facebook...mungkin mereka dah ada tempat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional mengenai Gasbio dan Rawatan Kumbahan Kilang Minyak Sawit di sini, Isnin.

Dompok, yang juga Menteri Industri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat aduan dari Sabah dan Sarawak ekoran beberapa aduan yang dilaporkan mengenai cara JPA memberikan biasiswa untuk pelajar cemerlang tingkatan lima di Semenanjung baru-baru ini.

Beliau berkata bilangan biasiswa JPA untuk tahun ini ialah 1,500 dan di bawah peraturan khas, Sabah dan Sarawak diberikan kuota setiap lima peratus.

"Ini bermakna Sabah dan Sarawak diberikan jaminan masing-masing 75 biasiswa (daripada kesemuanya 1,500). Kuota ini hanya untuk memastikan Sabah dan Sarawak akan mendapat biasiswa.

"Mereka juga layak memohon sebahagian lain kuota itu 20 peratus dan 60 peratus (untuk pelajar cemerlang) dan saya percaya sesetengah penduduk Sabah dan Sarawak memperolehnya...pada hakikatnya tahun ini, lebih 75 biasiswa untuk Sabah dan lebih 75 untuk Sarawak. Sebab itu saya tidak terima banyak aduan," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain