suria

Muktamar Tahunan PAS: Gandingan Ulama, Profesional - Haron Din

GOMBAK: Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din menafikan beliau kecewa dengan tumbangnya dua calon ulama dalam pemilihan Timbalan Presiden PAS yang diumumkan pada Sabtu.

"Saya tak pernah kecewa. Itu pandangan saya. Kalau majoriti kata perlu gandingan (ulama dan profesional) itu, itu percubaan yang cukup baik," katanya kepada pemberita di Markas PAS Taman Melewar di sini, Sabtu.

Dalam keputusan yang diumumkan hari ini, Mohamad Sabu mengenepikan dua calon golongan ulama, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad Sabu menang selepas memperoleh 420 undi, Tuan Ibrahim 399 sementara Nasharudin hanya mendapat 224 undi.

Haron merupakan pemimpin ulama yang vokal dalam mengetengahkan pandangan supaya ahli PAS memilih golongan ulama untuk mengisi jawatan tertinggi dalam parti itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad pula menolak dakwaan bahawa kumpulan proKetua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menguasai parti itu.

“Tak betul, itu telahan media saja... media juga yang kata pertandingan kali ini sengit. Bagi saya tak ada apa-apa pun,” katanya.

Idris yang tewas dalam pertandingan enam perjuru untuk kerusi Naib Presiden bagaimanapun menerima kekalahannya.

“Saya banyak tugas lain lagi dalam PAS. Kita cuma mahu pahala saja,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain