suria

"Saya Dilindungi Daripada Prosiding Undang-Undang" - Bekas Naib Presiden Sime Darby

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Eksekutif Bahagian Tenaga dan Utiliti Sime Darby Bhd, Datuk Mohamad Shukri Baharom memfailkan notis pihak ketiga di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Komersial di sini, Rabu bahawa beliau dilindungi di bawah Perjanjian Tanggung Rugi daripada sebarang prosiding undang-undang.

Beliau memfailkan notis itu melalui Tetuan Satha & Co. pagi ini.

Dalam notis itu, beliau menjelaskan bahawa plaintif kedua Sime Engineering Services Berhad melalui kuasa peguam bertarikh 11 Ogos, 2005, telah melantiknya sebagai anggota lembaga pengarah syarikat di mana ia tanpa bersyarat berjanji untuk tanggung rugi defendan kedua (Mohamad Shukri) terhadap sebarang tindakan, prosiding, tuntutan, punca, ganti rugi, perbelanjaan dan liabliti.

Dalam notis itu, Mohamad Shukri berkata bahawa jika plaintif-plaintif dalam dua saman itu berjaya dalam tuntutan mereka terhadapnya, beliau akan menuntut tanggung rugi daripada 11 individu dan dua plaintif, Sime Engineering Sdn Bhd dan Sime Darby Holdings Berhad atas kedudukan mereka sebagai anggota tertinggi pembuat keputusan dalam kumpulan.

Antara 11 individu itu termasuk Tan Sri Datuk Dr Ahmad Tajuddin Ali, yang merupakan bekas pengerusi Sime Engineering Sdn Bhd dan Datin Paduka Zaitoon Othman, yang merupakan bekas anggota jawatankuasa penyeliaan bahagian tenaga dan utliti Sime Darby Bhd.

Beliau mendakwa individu dan dua plaintif wajib menggunakan kepakaran, kewaspadaan dan ketekunan yang sewajarnya dalam melaksanakan tugas.

Pada 23 Disember tahun lepas, Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Energy Sdn Bhd, Sime Darby Marine Sdn Bhd dan Sime Darby Marine (Hong Kong) Sdn Bhd menyaman lima bekas eksekutif kanannya berhubung kerugian besar berkaitan projek Qatar Petroleum, projek Maersk Oil Qatar dan projek Bakun.

Selain Mohamad Shukri, turut disaman bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, bekas Ketua Pegawai Kewangan Bahagian tenaga dan Utiliti Kumpulan, Abdul Rahim Ismail, bekas pengurus besar kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd Mohd Zaki Othman dan bekas ketua Unit Perniagaan Gas dan Minyak (Bahagian Tenaga dan Utiliti) Abdul Kadir Alias.

Plaintif-plaintif itu menuntut sekurang-kurangnya RM92.2 juta, faedah serta kos yang perlu dibayar oleh bekas eksekutif berkenaan kerana melakukan pecah amanah dan tidak memenuhi tanggungjawab fidusiari masing-masing dalam projek Bakun.

Kumpulan itu meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar Ahmad Zubir, Mohamad Shukri dan Abdul Rahim memulangkan RM74 juta dan RM16.5 juta kerana membuat bayaran secara salah berhubung projek Bakun dan perintah agar Mohamad Shukri dan Ahmad Rahim masing-masing memulangkan RM851,313.49.

Mereka juga menuntut pemulangan sekurang-kurangnya RM338 juta serta ganti rugi am dan ganti rugi teruk serta relif lain yang berkaitan dengan kerugian yang dialami dalam projek Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar dan satu projek marin.

Mohamad Shukri diwakili Datuk S.Stharuban dan S.Muralitharan. -BERNAMA

Artikel Lain