suria

Raisuddin, Siti Fatimah Bercinta Dalam Diam

Gambar fail Raisuddin dan Siti Fatimah.
Gambar fail Raisuddin dan Siti Fatimah.
Gambar fail Raisuddin dan Siti Fatimah.

SHAH ALAM: Isteri kedua penyanyi popular tahun 80-an, Raisuddin Hamzah mengakui bahawa mereka menjalin hubungan cinta dalam diam selama enam bulan sebelum mengambil keputusan untuk bernikah di Selatan Thailand, empat tahun lalu.

Siti Fatimah Suberi, 25, berkata, hubungan dia dan Raisuddin, 55, ibarat ‘pasangan kekasih’ selepas bertemu di kedai makan yang diusahakan oleh ayahnya di Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.

“Tiada sesiapa yang tahu tentang hubungan kami semasa itu. Saya ada berniat untuk berkahwin dengan Raisuddin,” katanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Menurut Siti Fatimah lagi, rancangan untuk bernikah di Songhkla, Thailand pada 2 Januari 2007 dibuat secara sukarela tanpa dimaklumkan kepada ayahnya.

“Saya tidak maklumkan pada ayah kerana dia tidak akan bersetuju dengan pernikahan itu disebabkan oleh perkara peribadi,” tambahnya.

Bagaimanapun, Siti Fatimah yang tidak meneruskan pengajian di sebuah institut pengajian swasta selepas berkahwin memberitahu, dia yakin pernikahan yang menggunakan wali hakim itu sah di sisi syarak.

Justeru itu, dia menambah, tidak bersetuju dengan permohonan Suberi, 50, untuk membubarkan pernikahan tersebut.

“Saya yakin pernikahan sah kerana saya ada surat-surat seperti dari Konsulat Malaysia di Songkhla, Islamic Community of Songkhla dan surat pengesahan pernikahan dari Pejabat Agama Islam Gombak Timur (dekat sini),” katanya.

Pada prosiding sama, wanita bertubuh genit itu juga menolak dakwaan Suberi bahawa dia sebenarnya hendak dijodohkan dengan anak lelaki Raisuddin.

Katanya, dia tidak pernah mengenali anak lelaki suaminya apatah lagi menjalin hubungan dengan anak tirinya.

Siti Fatimah juga menafikan dakwaan Suberi yang mengatakan dia juga pernah berniat untuk menjodohkan anaknya dengan anak seorang doktor.

“Saya kenal dan pernah berjumpa dengan anak doktor tersebut, tetapi hubungan kami hanya sebagai kawan sahaja.

“Saya tidak pernah merancang untuk berkahwin dengan anak doktor itu,” katanya. Siti Fatimah sedang memberi keterangan sebagai defendan pertama dalam permohonan yang difailkan oleh Suberi mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Selaku plaintif, Suberi menamakan turut menamakan Raisuddin yang juga bapa kepada penyanyi popular Siti Sarah selaku defendan kedua.

Terdahulu, perbicaraan dijalankan selama 10 minit tanpa kehadiran peguam syarie Mohd Roshdan Sujak yang mewakili Suberi yang terlewat kerana mempunyai kes di tempat lain.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin enggan menangguhkan kes kerana masa perbicaraan telah ditetapkan dengan persetujuan bersama peguam syarie pada prosiding lalu.

“Saya mahu teruskan kerana pada tarikh lalu, saya telah tanya peguam-peguam masa yang sesuai. Ini sudah lebih daripada pukul 10.30 pagi.

“Saya tidak mahu jadi orang munafik. Ini bukan ikut waktu saya, tetapi waktu peguam. Berikan kertas dan pen pada Suberi untuk catit keterangan,” tambah Zainor Rashid.

Siti Fatimah mula mengangkat sumpah pada pukul 10.40 pagi manakala Mohd Roshdan tiba di mahkamah pada pukul 10.50 pagi.

Raisuddin dan Siti Fatimah pula diwakili peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif.

Keterangan Siti Fatimah bagaimanapun terhenti di pertengahan jalan, kerana Zainor Rashid mengarahkan supaya peguam-peguam dapat menyelesaikan masalah ketidakseragaman dokumen yang dirujuk pada perbicaraan tersebut.

Beliau menetapkan perbicaraan itu disambung semula pada 23 Mei depan.

“Mahkamah tidak bermaksud mahu melenggah-lenggahkan kes tetapi dokumen perlu diuruskan,” katanya.

Artikel Lain