suria

Kandungan Protein Telur Tiruan Menyamai Tulen - Tiong Lai

KUANTAN: Ujian awal ke atas sampel telur yang dikatakan tiruan mendapati produk itu mengandungi bahan telur tulen.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata berdasarkan ujian makmal kimia, protein kulit serta putih dan kuning telur terbabit adalah telur sebenar.

"Bagaimanapun untuk memastikan ia betul-betul bukan telur palsu, kita hantar lagi buat ujian DNA dan apabila kita sahkan tulen atau tidak, saya akan umumkan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Sedunia peringkat kebangsaan, di sini, Ahad.

Liow berkata keputusan ujian DNA itu dijangka diketahui esok.

"Ini melibatkan kepentingan umum, semua orang nak tahu hasil siasatan kita," katanya.

Beliau juga berkata kementeriannya pernah menerima laporan berhubung perkara sama pada 2007, namun kajian yang dibuat menunjukkan tidak ada telur tiruan di pasaran di negara ini.

Justeru katanya, orang tidak perlu panik berhubung perkara tersebut.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata keadaan jangkitan Adenovirus di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Teluk Kemang, Negeri Sembilan terkawal dan tidak merebak dengan meluas.

Pada masa ini seramai 136 pelatih polis di Pusasda diletakkan di bawah pengasingan sementara lima dimasukkan ke hospital iaitu tiga di Hospital Port Dickson dan dua di Hospital Seremban untuk rawatan lanjut, katanya.

Namun tiada pelatih yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain