suria

Dua Pelajar Maut Dalam Kejadian Langgar Lari

KANGAR: Dua pelajar terbunuh dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangi mereka dipercayai dirempuh kenderaan lain berhampiran simpang jalan Kampung Rama, Sanglang dekat sini, malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Perlis, ASP Rosli Yahaya berkata, dalam kejadian kira-kira 9.20 malam, pembonceng motosikal itu, Mohd Shawal Shahabudin, 15, mati di tempat kejadian manakala penunggang, Mohd Hafizi Kassim, 17, meninggal dunia selepas tiga jam dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Beliau berkata, kejadian itu berlaku semasa kedua rakan karib itu yang sedang menghala ke Simpang Empat, dipercayai dilanggar kenderaan lain dari arah belakang.

Bagaimanapun, polis masih belum mengenal pasti kenderaan yang terbabit.

Rosli yang mengklasifikasikan kes itu sebagai langgar lari berkata, ketika kejadian kawasan berkenaan gelap tambahan pula ketika itu hujan lebat mengehadkan jarak penglihatan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan.

Menurut Rosli, Mohd Shawal patah tulang pinggul manakala Mohd Hafizi patah tangan kiri dan cedera parah di kepala.

Mayat kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang dituntut keluarga masing-masing di HTF sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sanglang dekat sini, Sabtu.

Rosli meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Azly Supuandi di talian 04-9781079.

Beliau juga berharap pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu untuk membuat laporan di balai polis berhampiran.- BERNAMA

Artikel Lain