Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Tangani Rasuah Penjawat Awam - Semasa | mStar

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Tangani Rasuah Penjawat Awam

KUALA LUMPUR: Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, inisiatif perundangan utama di bawah bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi rasuah, digubal untuk menangani gejala itu terutama di kalangan penjawat awam.

Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan NKRA Rasuah Datuk Hisham Nordin berkata akta itu menggalakkan pendedahan sebarang kelakuan tidak wajar serta melindungi identiti individu yang membuat pendedahan, atau pemberi maklumat.

"Akta ini juga memperuntukkan imuniti kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah. Undang-undang ini merangkumi bukan sahaja kepada sektor awam, malahan boleh diaplikasikan oleh sektor swasta," katanya.

Beliau berkata ia berbeza dengan Akta Perlindungan Saksi kerana identiti pemberi maklumat dilindungi dan individu itu tidak perlu hadir ke pejabat agensi penguat kuasa untuk melaporkan kelakuan tidak wajar yang diketahuinya.

Katanya, pemberi maklumat boleh menghubungi pegawai agensi penguat kuasa serta boleh berjumpa di mana-mana tempat yang dirasakan selamat dan selesa.

"Laporan juga boleh dibuat melalui surat atau e-mel, dengan syarat pemberi maklumat memberikan nombor telefon serta alamat untuk dihubungi bagi pengesahan identiti pemberi maklumat, serta mengelakkan laporan atau maklumat palsu," katanya.

Hisham berkata kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada telah melaksanakan perlindungan terhadap pemberi maklumat dan ia dikenali sebagai "Whistleblower Act".

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penubuhan empat Mahkamah Tinggi Khas Rasuah dan 14 Mahkamah Seksyen Rasuah yang mula beroperasi sejak 16 Februari lalu dijangka melancarkan prosiding mahkamah melalui pengkhususan kes.

Katanya, pelaksanaan inisiatif itu juga akan mengurangkan kes tertunggak di mahkamah dan meningkatkan kualiti pendakwaan.

"Ini akan membantu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap integriti badan kehakiman dan perundangan serta kesungguhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam membanteras jenayah rasuah", katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Dakwa Rahim Mahu Balas Dendam

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!

Mas Ermieyati sertai Bersatu