suria

Ada Penambahan Maklumat Tapi Tidak Wujud Percanggahan - Saksi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu terdapat penambahan maklumat mengenai soal siasat bekas setiausaha politik exco Selangor itu dalam dairi siasatan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor.

Mohad Anuar Ismail berkata penambahan maklumat dalam dairi siasatan miliknya itu adalah untuk menyatakan perkara-perkara yang jelas dan tidak bertujuan mewujudkan percanggahan maklumat.

"Saya hanya menambahkan perkara yang dirasakan penting dalam dairi tersebut seperti masa, tempat, keadaan semasa bagi tujuan siasatan yang boleh dirujuk oleh pegawai-pegawai saya," katanya.

Ketika disoal peguam S.Sivaneindiren dari Majlis Peguam adakah penambahan maklumat itu dibuat selepas inkues iaitu sebelum beliau ditukarkan ke Unit Transformasi, Mohd Anuar berkata penambahan maklumat itu dibuat selepas inkues.

Mohd Anuar, yang ditugaskan di Unit Transformasi, Putrajaya sejak awal 2010, menjelaskan tambahan beberapa perkara penting itu tidak terlalu banyak dan bukan untuk mengelirukan. Ketika ditanya pengerusi Suruhanjaya Siasatan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen sama ada Mohd Anuar mempunyai daya ingatan yang baik, Mohd Anuar berkata: "Kadang kala sahaja... tetapi ada juga melibatkan perbincangan bersama pegawai-pegawai yang terlibat dalam kes ini".

Mohd Anuar berkata sekiranya ada perkara yang beliau terlupa, penambahan maklumat akan dibuat selepas diari selesai iaitu satu atau dua bulan selepas kematian Teoh.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan berkata sepatutnya perkara penting itu bukan hanya berasaskan kepada daya ingatan tetapi melibatkan perbincangan bersama-sama pegawai lain.

Ketika ditanya, Mohd Anuar juga tidak dapat memastikan sama ada dairi siasatan Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM Hairul Ilham Hamzah turut membuat penambahan maklumat.

Sementara itu, ketika disoal peguam Edmund Bon dari Majlis Peguam sama ada Mohd Anuar mengetahui kertas siasatan yang diberi tidak mempunyai dairi siasatan pegawai-pegawai SPRM termasuk dirinya, Mohd Anuar berkata beliau tidak dapat menjelaskannya kerana siasatan telah diambil alih oleh orang lain.

Saksi ke-23 itu juga bersetuju Teoh adalah saksi SPRM yang paling penting dalam soal siasat penyalahgunaan tuntutan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang juga Exco Selangor.

Mohd Anuar menjelaskan beliau tidak mengetahui bagaimana satu daripada empat dokumen yang berkaitan dengan tuntutan Ean Yong tidak berada dalam empat dokumen yang ditunjukkan oleh peguam Edmund.

"Peguam Edmund menunjukkan empat dokumen yang mana dua adalah milik syarikat WSK Services, satu Hong Chye Enterperise dan satu dokumen berkaitan rombongan lawatan penduduk.

"Saya tidak tahu mengapa dokumen rombongan lawatan penduduk boleh termasuk dalam empat dokumen ini sedangkan ia berkaitan dengan siasatan ADUN Kampung Tunku. Sepatutnya dokumen mengenai syarikat MeritLink yang berada dalam empat dokumen tersebut," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean Yong, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya Siastan itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka. - BERNAMA

Artikel Lain