suria

Menteri Besar, 10 Anggota Exco Kedah Angkat Sumpah

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta 10 anggota Exco kerajaan negeri Kedah, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit Bukit, di sini, Isnin.

Azizan ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata pelantikan barisan Exco itu dikekalkan, namun ia melibatkan sedikit rombakan portfolio.

Beliau berkata anggota yang terlibat dengan perubahan portfolio ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.

Turut berubah portfolio ialah Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan; Pertanian dan Industri Asas Tani; Bioteknologi dan Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan.

Anggota-anggota Exco tidak terbabit dengan perubahan portfolio ialah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi manakala Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dilantik kembali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan.

Anggota lain yang dikekalkan ialah Siti Aishah Ghazali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat serta Dr Ismail Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

S. Manikumar turut dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, manakala Lim Soo Nee memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia.

Abd Ghani Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Usahawan, manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan disandang Tan Joon Long. -BERNAMA.

Artikel Lain