suria

UTM Bantu Cipta Semula Kejadian Teoh Beng Hock Jatuh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock mengumumkan bahawa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan membantu dalam menghuraikan persoalan bagaimana pembantu politik itu menemui ajalnya menerusi kaedah animasi saintifik.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen pada Rabu berkata, simulasi tersebut yang akan menggunakan perisian komputer dapat memberikan petunjuk yang lebih baik mengenai kedudukan dan cara Teoh jatuh.

Tambahnya, pihak suruhanjaya telah berhubung dengan pegawai penyiasatbebas yang dilantik, Michael Leslie Squires supaya berkerjasama dengan sebuah universiti bagi mencipta semula kejadian melalui kaedah animasi saintifik.

“UTM telah memberikan persetujuan untuk melibatkan diri dalam projek ini,” kata James dan menambah penciptaan semula kejadian akan mengambil kira faktor-faktor seperti berat badan dan ketinggian Teoh.

Selain itu, ia juga akan mengambil kira beberapa teori yang dikemukakan oleh pelbagai pihak sepanjang prosiding suruhanjaya berlangsung, iaitu sama ada Teoh terjun dalam keadaan sedar ataupun dia dicampakkan semasa tidak sedarkan diri.

James juga berkata, penciptaan semula ini akan lebih membantu berbanding ujian seumpamanya yang pernah dilakukan.

Justeru itu, beliau memerintahkan supaya semua pihak yang terlibat dalam prosiding suruhanjaya untuk memberikan kerjasama dalam projek itu.

Cadangan untuk mencipta semula kejadian telah mula diperkatakan pada Selasa, apabila James meminta pandangan seorang pakar patologi forensik, Dr Prashant Naresh Samberkar sekiranya perkara tersebut boleh dilakukan.

Dr Prashant yang merupakan pensyarah kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjawab, beliau tidak dapat membantu kerana tidak mempunyai perisian komputer yang sesuai.

Usaha untuk mencipta semula kejadian pernah dilakukan oleh Dr Prashant dalam siasatannya kali pertama pada tahun 2009 yang dibuat dengan menggunakan anak patung dan botol air minuman yang dicampakkan daripada sebuah tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh.

Bagaimanapun, Dr Prashant mengakui bahawa ujian itu tidak dapat menyamai kejadian sebenar memandangkan berat badan Teoh, 70 kilogram dengan ketinggian 174 sentimeter tidak dapat disamakan dengan objek-objek tersebut.

Teoh, 30, ditemui mati di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini, pada 16 Julai 2009 iaitu beberapa jam selepas dia diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 plaza sama.

Pembantu politik kepada EXCO Selangor , Ean Yong Hian Wah itu dikatakan hadir untuk dirakamkan percakapan sebagai seorang saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor.

Satu prosiding inkues bagi menyiasat kematiannya memulakan prosiding pada 29 Julai 2009 dan pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abad memberikan keputusan terbuka, iaitu tidak boleh menentukan sama ada Teoh mati kerana membunuh diri atau dibunuh.

Artikel Sebelum

Artikel Lain