suria

SPRM Diminta Siasat Kecurian Bijih Besi Di Dungun

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meminta pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera berhubung laporan kecurian bijih besi di Bukit Besi, Dungun.

Melahirkan rasa kecewanya, Ahmad berkata beliau percaya ada 'orang dalam' bersengkongkol dalam hal itu, mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil yang banyak.

"Seolah-olah harapkan pagar, pagar makan padi," katanya kepada pemberita selepas melawat kelas maya di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, di sini hari ini.

Ahmad berkata, satu laporan polis dibuat semalam berhubung kejadian itu dan beliau telah mengarahkam Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu menjalankan siasatan tentang perkara itu.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak pasti berapa jumlah kehilangan hasil bijih besi yang dialami.

Ahmad berkata, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur tentang perkara itu kerana ia merupakan aset kerajaan negeri dan hak rakyat.

Pada masa ini ramai pengusaha menunjukkan minat untuk mengusahakan perlombongan bijih besi, namun kerajaan negeri tidak bercadang untuk memberikan lesen kepada pengusaha baru, katanya.

Menteri Besar itu berkata, sebelum ini ramai yang diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti perlombongan di situ namun diberhentikan kerana tidak bertanggungjawab dan kini hanya terdapat tiga pengusaha sah. - BERNAMA

Artikel Lain