suria

Noraini Memangku Jawatan Ketua Pengarah JKM Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Noraini Mohd Hashim akan memangku jawatan Ketua Pengarah JKM mulai esok berikutan persaraan Datuk Meme Zainal Rashid.

Meme, yang bersara wajib esok selepas berkhidmat selama 34 tahun dalam perkhidmatan kerajaan, dilantik sebagai Ketua Pengarah JKM pada Oktober 2007.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan nota serah tugas kepada Noraini di sini, Isnin, beliau berkata, JKM telah merangka Pelan Tranformasinya untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

"JKM mempunyai lima strategi untuk memantapkan perkhidmatan kebajikan iaitu pemantapan struktur organisasi, pembangunan modal insan, pemantapan sistem penyampaian, pembangunan program teras dan perusahaan sosial dan pekerjaan," katanya.

Selain itu, Meme berkata, kerajaan juga meluluskan Piawaian Kerja Sosial Kebangsaan dan Penggubalan Akta Pekerja Sosial tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain