suria

Daftar e-Kasih Bukan Penentu Kelayakan Terima Bantuan - ICU JPM

KUALA LUMPUR: Pendaftaran terbuka data keluarga miskin dalam sistem maklumat kemiskinan negara (e-Kasih) bukan penentu kelayakan untuk mereka menerima bantuan di bawah program pembasmian kemiskinan yang dijalankan kementerian dan agensi berkaitan.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) berkata ini kerana e-Kasih bukanlah badan yang memberi bantuan, seperti mana tanggapan banyak pihak.

Pendaftaran terbuka hanya menentukan sama ada bancian terperinci layak dijalankan atau sebaliknya, kata kenyataan ICU JPM Selasa.

Maklumat dalam e-Kasih boleh digunakan untuk perancangan projek bagi penyaluran bantuan dan penyertaan projek oleh semua agensi yang diberikan akses.

e-Kasih ditubuhkan pada 2007 sebagai sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi memudahkan agensi-agensi pemberi bantuan untuk memilih golongan yang betul-betul layak menerima bantuan di bawah program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan.

Kriteria menentukan status kemiskinan adalah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan PGK perkapita isi rumah yang telah ditentukan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam e-Kasih berasaskan kepada Banci Isi Rumah Miskin (BIRM) yang telah dilaksanakan dalam dua Fasa selain melalui kaedah pendaftaran terbuka iaitu atas talian (on-line) atau laman sesawang www.ekasih.gov.my.

Bancian Fasa 1 yang dijalankan pada Disember 2007 sehingga Jun 2008 mendapati seramai 181,564 isi rumah telah didaftarkan dengan 44,643 isi rumah dalam kategori miskin tegar, 53,557 isi rumah dalam kategori miskin dan selebihnya 83,364 mudah miskin.

Fasa II bancian yang dijalankan pada Januari 2008 sehingga Julai 2009 pula mendapati seramai 46,976 isi rumah telah didaftarkan dan daripada jumlah itu 6,366 isu rumah dalam kategori miskin tegar, 13,476 isu rumah dalam kategori miskin dan selebihnya 27,134 mudah miskin.

Sehingga 14 Januari 2011, sejumlah 195,493 kes di bawah pendaftaran terbuka telah diterima dan daripada jumlah itu, 89,359 kes telah dibuat bancian, 66,377 kes tidak layak dibuat bancian dan selebihnya 39,757 sedang dibuat bancian.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, dari segi pelaksanaan dan penyaluran bantuan, kerajaan telah membuat keputusan pada 6 Disember lepas bahawa keutamaan penyaluran bantuan dan projek pembasmian kemiskinan diberikan kepada mereka yang telah disenaraikan dalam e-Kasih.

"Bagaimanapun bantuan dan projek boleh juga dipertimbangkan kepada mereka yang belum disenaraikan dalam e-Kasih sekiranya memenuhi syarat dan kriteria bantuan yang disalurkan oleh agensi-agensi berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata usaha pemutihan dan kemaskini sentiasa dilakukan terhadap senarai e-Kasih bagi memastikan bantuan dan projek hanya disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Proses pemutihan itu akan menentukan pergerakan isi rumah yang telah melepasi PGK per kapita akan bergerak kepada kategori yang lebih baik atau "terkeluar" tetapi maklumat masih disimpan dalam e-Kasih," katanya.

Sehingga 14 Januari 2011, sejumlah 43,340 isi rumah telah dikategorikan sebagai "terkeluar" daripada senarai e-Kasih. - BERNAMA

Artikel Lain