suria

Keputusan Pembebasan Sarjan Tharmendran, ATM Akan Buat Rayuan Di Mahkamah

SUBANG: Sarjan N.Tharmendran, yang dibebaskan daripada tahanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atas perintah Mahkamah Tinggi semalam, perlu kembali bertugas sebaik dibebaskan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau terikat pada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dalam tentera.

ATM menerima secara terbuka keputusan mahkamah itu yang mendapati terdapat kesilapan teknikal dan akan membuat rayuan berhubung keputusan itu, katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Sebelum itu, Ahmad Zahid menghadiri majlis penghantaran Kumpulan Pertama Malaysia Battalion (MALBATT 3) di bawah Misi Bangsa Bersatu ke Lubnan di Pangkalan Udara TUDM di sini.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan permohonan habeas corpus oleh Tharmendran, yang difailkan sehari selepas ditahan di Pusat Tahanan Kem Batu Kentomen, Jalan Ipoh di sini pada 25 November lepas.

Dalam penghakimannya, Su berkata penahanan itu adalah salah dan dibuat secara tidak sah.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa penangkapan Tharmendran oleh beberapa anggota Jabatanarah Provos Marsyal TUDM yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli adalah sah.

Tharmendran, 42, ditangkap oleh pegawai-pegawai berkenaan selepas dia selesai mengikuti prosiding permohonan menggugurkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin jet milik TUDM, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Terdahulu pada majlis penghantaran kumpulan pertama MALBATT 3, Zahid berkata anggota pasukan keselamatan Malaysia yang melaksanakan program jiwa murni dengan memberi bantuan perubatan, pergigian dan kejuruteraan, diterima dengan mesra dan baik oleh masyarakat di Lubnan.

Berikutan penerimaan baik itu, seramai 100 anggota tambahan akan ditempatkan dalam misi kali ini, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 540 orang termasuk pegawai, katanya.

Kumpulan pertama seramai 300 orang berlepas hari ini, manakala kumpulan kedua seramai 140 orang pada 27 Januari dan kumpulan tambahan 100 orang dijangka pada Mac depan, katanya.

"Mereka telah menjalani latihan integrasi pasukan selama tiga bulan di Port Dickson (Negeri Sembilan) bagi menggantikan MALBATT 2 yang akan menamatkan misi mereka pada 28 Januari ini," kata Ahmad Zahid.

MALBATT 3, katanya, akan melaksanakan tugas di Selatan Lubnan selama sembilan bulan.

Turut mengikuti penerbangan bersama kumpulan MALBATT 3, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Ismail Ahmad bagi meninjau sendiri perkembangan Kontinjen ATM di sana bagi lawatan kerja selama tiga hari. - BERNAMA

Artikel Lain