suria

BN Mahu Dekati Pengundi Di Setiap Pelosok Tenang

LABIS: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) akan berusaha mendekati pengundi di setiap pelusok kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor semasa pilihan raya kecil kerusi kawasan itu nanti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

"Jentera BN akan mencakupi setiap kawasan secara terperinci hingga sampai kepada lokaliti di mana pengundi berada, sama ada di kampung, Felda dan ladang, termasuk juga Orang Asli," katanya.

Usaha menyampaikan maklumat kepada pengundi akan dilakukan secara berkesan selepas penamaan calon Sabtu ini, kata Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor kepada pemberita selepas melancarkan Program Nadi Kasih Peringkat Parlimen Labis di Kampung Tenang pada Rabu.

Program Nadi Kasih merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin di kawasan luar bandar membaiki serta membaik pulih kerosakan rumah mereka.

Menerusi program tersebut, 1MDB menyasarkan membaiki sebanyak 10,000 rumah di seluruh negara dengan peruntukan RM50 juta dalam tempoh dua tahun.

Bagi fasa pertama program itu, sebanyak 3,000 rumah akan dibaiki termasuk 100 buah di kawasan Parlimen Labis.

Terdahulu, Abdul Ghani turut menyampaikan sumbangan berupa peralatan sekolah kepada 150 pelajar dari tujuh sekolah di sekitar daerah tersebut.

Turut hadir Anggota Parlimen Labis Chua Tee Yong, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemudahan Awam Datuk Ahmad Zahari Jamil dan Pengarah Bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat 1MDB Dr Shamsul Anwar Sulaiman. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain