suria

Yang Dipertua Dewan Negara Dan Dewan Rakyat Ketuai Delegasi Malaysia Ke APPF

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan Forum Parlimen Asia-Pasifik (APPF) ke-19 di Ulaanbaatar, Mongolia selama seminggu mulai Ahad ini.

Semasa di negara itu, Abu Zahar dan Pandikar Amin dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Mongolia Batbold Sukhbaatar dan Pengerusi Parlimen Mongolia Demberel Damdin pada Isnin ini.

Menurut kenyataan media Parlimen Malaysia di sini Jumaat, delegasi Malaysia turut disertai anggota Dewan Negara Senator Datuk Rizuan Abd Hamid, Senator Tan Sri Tee Hock Seng, Senator Datuk Daljit Singh Gurdev Singh, Senator Datuk Zaitun Mat dan Senator Zamri Yusuf.

Sementara Dewan Rakyat pula diwakili oleh anggota Parlimen Lubok Antu William @ Nyallau Anak Badak, anggota Parlimen Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin, Yusmadi Mohd Yussof (Balik Pulau) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Mesyuarat itu akan membincangkan empat isu utama iaitu hal ehwal politik dan keselamatan, ekonomi dan perdagangan, kerjasama serantau melibatkan perubahan iklim dan pengurusan bencana serta kerjasama masa depan APPF.

Satu resolusi bersama dijangka dikeluarkan pada forum itu, menurut kenyataan tersebut.

Lebih 40 buah negara rantau Asia-Pasifik dijangka menghadiri mesyuarat tahunan itu termasuk Jepun, China, Indonesia, Australia, Kanada dan Malaysia.

APPF diwujudkan dalam usaha untuk menyediakan kesempatan khususnya bagi anggota Parlimen dari kawasan Asia-Pasifik bagi mengenal pasti dan membincangkan perkara yang menjadi perhatian bersama di samping meningkatkan kerjasama serantau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain