suria

Siti Fairus Di Luar Negara, Kes Tuntutan Harta Tangguh

SHAH ALAM: Prosiding tuntutan harta sepencarian dan mutaah yang bernilai hampir RM2 juta oleh Siti Fairuz terpaksa ditangguhkan ke tarikh baru ekoran penyanyi terkenal 80-an itu berada di luar negara.

Sehubungan itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Marsoha Duki menetapkan 29 Mac depan untuk merekodkan persetujuan bersama yang dicapai antara Siti Fairuz dan suaminya dalam prosiding tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh wakil kepada peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, Mohd Hafizuddin Ahmad Mispan pada Khamis.

Fakhrul Azman mewakili Siti Fairus dalam permohonan tersebut manakala bekas suaminya, Mohamad Zainuddin Kordi diwakili peguam Zuri Zabudin.

Siti Fairuz, 46, atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed yang terkenal dengan lagu Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu disahkan bercerai secara taklik dengan Mohamad Zainudin, 46, pada 14 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, dekat sini.

Perceraian itu berlaku selepas mereka dikurniakan lima anak, iaitu Farhanah Afifah, 21, Farahiah Amirah, 19, Fadhli Asyraf, 17, Fariz Afiq, 15 dan Fakhri Aiman, 11, hasil perkahwinan yang dibina pada tahun 1988.

Mohamad Zainuddin, 46, bekerja sebagai pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ekoran perceraian itu, Siti Fairuz memfailkan tuntutan itu yang meliputi enam bidang tanah di Subang Indah, Petaling Jaya; Tiara Beach Resort, Port Dickson; Bukit Merah Lake Town, Perak; Damansara dan Sungai Buloh serta empat rumah di Mutiara Damansara, Bandar Sri Damansara dan Shah Alam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain