suria

Penoreh Getah Di Tenang Tersenyum Lebar Kerana Harga Tinggi

LABIS: Kenaikan harga getah di pasaran akhir-akhir ini, memberikan penoreh getah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang banyak sebab untuk tersenyum lebar.

Kenaikan harga getah itu membolehkan pendapatan golongan penoreh getah yang tinggal di DUN Tenang dan kawasan-kawasan lain di seluruh negara meningkat beberapa kali ganda.

Seorang penoreh getah yang hanya mahu dikenali sebagai Abu berkata dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil tuaian empat ekar kebun getahnya di Felda Tenang.

"Memang pendapatan bulanan sekarang saya dan kawan-kawan penoreh getah meningkat dengan mendadak akibat kenaikan harga getah di pasaran sekarang. Alhamdulillah, kehidupan saya sekeluarga semakin baik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di stesen membeli getah di Labis, pada Selasa.

Hasil daripada peningkatan pendapatan yang diperolehnya itu, Abu, yang mempunyai empat anak masih bersekolah, dapat menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik kepada anak-anaknya. "Hasil daripada pendapatan yang lebih itu, saya kini berkemampuan untuk memasukkan anak ke kelas komputer dan tuisyen bagi membantu mereka memperoleh keputusan peperiksaan yang lebih baik," katanya.

Seorang lagi penoreh getah yang hanya dikenali sebagai Tan berkata hasil torehan di kebun getah miliknya sendiri seluas dua ekar setengah, membolehkannya memperoleh pendapatan sehingga RM2,500 sebulan.

"Pendapatan saya bagi sebulan telah meningkat satu kali ganda ketika ini, berbanding dua tiga tahun lepas ketika harga getah di pasaran tidak setinggi berbanding pada masa ini," katanya.

Walaupun harga getah di pasaran meningkat membolehkannya mendapat pendapatan lebih tinggi, penoreh getah itu berkata mereka masih perlu bekerja keras dalam meneruskan kehidupan.

Bagi Tan dan isteri, yang membantunya menoreh getah, mereka perlu bangun seawal pukul 3 pagi untuk menoreh kira-kira 300 batang pokok getah di kebunnya yang terletak tidak jauh daripada pekan Labis.

Bagi pemajak kebun getah yang mahu dikenali sebagai Leong, 60, disebabkan harga getah yang melambung di pasaran dia mengambil keputusan untuk melabur dan memajak 50 ekar kebun getah daripada pekebun persendirian di Labis.

Hasil daripada pajakan 50 ekar kebun getah itu, dia mampu memperoleh kira-kira 500 kilogram susu getah dan getah sekerap sehari, yang dianggarkan bernilai di antara RM3,000 hingga RM4,000.

"Jika susu getah itu kurang mempunyai banyak air atau getah sekerap itu nipis, maka harga yang akan ditawarkan oleh pembeli adalah lebih tinggi," kata Leong, yang mempunyai enam penoreh getah bekerja dengannya.

Pembeli getah berlesen di Labis, Leong Mun Wai, 35, berkata, dia mampu membeli lebih satu tan getah, termasuk susu dan getah sekerap daripada penoreh-penoreh getah di sekeliling DUN Tenang.

Pilihan raya kecil DUN Tenang akan diadakan pada 30 Januari ini berikutan kematian penyandang kerusinya, allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Proses penamaan calon akan diadakan pada 22 Januari ini. -BERNAMA

Artikel Lain