suria

Pemandu Peribadi Dipenjara Sehari Kerana Cederakan Pengurup Wang

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu peribadi dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 atau penjara setahun jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan mencederakan seorang pengurup wang, enam tahun lepas.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin membuat keputusan itu selepas K.Balan, 29, mengaku bersalah mengikut pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 325, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Balan didakwa bersama dengan dua orang yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohamed Rihuan Mohd Junus, 24, di tepi Jalan Shelly, Cheras di sini pada 8.20 malam, 2 September 2004.

Terdahulu, peguam R. Jeyendran yang mewakili Balan memohon hukuman ringan dikenakan bagi memberi peluang kepada anak guamnya untuk menjalani kehidupan di masa depan.

"Anak guam saya akan berkahwin pada tahun depan dan kad kahwinnya sudah dicetak...saya merayu hukuman ringan dikenakan terhadapnya kerana tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu," katanya.

Mengikut pertuduhan asal, Balan dan dua rakannya M.Esvaran, 36, seorang pemandu lori dan Roslan Abseh, 30, seorang pekerja kedai besi buruk didakwa bersama dengan dua orang yang masih bebas mencederakan Mohamed Rihuan di lokasi dan pada masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah meminda pertuduhan terhadap Balan dan melepaskan dan membebaskan Esvaran dan Roslan daripada pertuduhan tersebut.

Sementara itu, Esvaran turut dilepaskan dan dibebaskan atas dakwaan bersama dengan dua orang yang masih bebas menyebabkan kematian tanpa niat dengan menggunakan sebilah parang ke atas Mustapa Husin, 48, di lokasi dan pada masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Zainal Abidin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie yang dihadapi oleh Esvaran dan Roslan di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Zainal Abidin berkata bagi pertuduhan pertama yang dihadapi Esvaran, mahkamah mendapati tiada mana-mana keterangan yang boleh mengaitkan tertuduh terlibat dalam kes itu kerana tiada senjata yang ditemui.

"Kegagalan pihak pendakwaan tidak memanggil saksi-saksi penting tanpa penjelasan dilihat tidak dapat mengaitkan tertuduh dan ini melemahkan kes pendakwaan.

"Mahkamah mendapati wujud beberapa kemusykilan berkaitan pengecaman ke atas tertuduh kerana tiada saksi yang dapat mengecam tertuduh terlibat dalam kes itu walaupun terdapat keterangan oleh mangsa (Mohamed Rihuan) yang dikatakan ditetak oleh tertuduh," katanya.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah mendapati punca kematian mangsa (Mustapa) bukan kerana kecederaan parah di bahagian tangan kirinya, tetapi mahkamah mengguna pakai keterangan doktor yang menjalankan bedah siasat yang mengesahkan kematian mangsa adalah disebabkan penyakit jantung yang serius.

Bagi pertuduhan yang dihadapi Roslan, mahkamah mendapati wujud percanggahan keterangan saksi selain tiada pengecaman yang dibuat yang boleh mengaitkan tertuduh terlibat dalam kes ini, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain