suria

Chegubard Enggan Terima Pelantikan Dalam PKR

PETALING JAYA: Calon Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Badrul Hisham Shaharin yang tewas pada pemilihan lalu tetap tegas enggan menerima tawaran dilantik sebagai timbalan setiausaha agung yang ditawarkan parti.

Sebaliknya, beliau kini masih menunggu tindakan parti itu berhubung aduan yang dibuat berkaitan pemilihan parti yang berakhir bulan lalu.

Badrul Hisham yang popular dengan jolokan Chegubard itu turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail kerana mengumumkan pelantikan beliau ke jawatan itu pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun beliau memutuskan untuk tidak menerima jawatan tersebut atas dasar prinsip.

"Saya sayangkan parti ini, dan kerana sayanglah saya akan terus menegur.

"Saya sayangkan negara ini, saya ingin pastikan keadilan menjadi sesempurna mungkin sebelum kita sampai ke Putrajaya," katanya pada sidang media di Bukit Mertajam, Isnin, lapor Malaysiakini.

Kata Badrul Hisham, keputusan itu dibuat setelah mendengar pandangan daripada rakan dan ahli keluarganya.

Beliau terus menuntut tindakan lanjut selepas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail memintanya bersabar dan tidak mengambil tindakan melulu.

"Saya juga ingin ingatkan tentang janjinya bahawa keputusan siasatan (aduan pemilihan) akan diketahui dalam dua minggu... Janji ini dibuat dalam kongres parti (pada November)," katanya.

Dia memberi jaminan akan terus berkhidmat walaupun tanpa apa-apa jawatan dan turut menegaskan supaya tindakan diambil terhadap aduan yang timbul berhubung pemilihan tersebut.

Sebelum ini, Badrul Hisham pernah mengadu terdapat campur tangan serius Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan langsung yang kali pertama dijalankan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain