suria

Pekerja Industri Batik Terdedah Kepada Ancaman Kesihatan

KOTA BARU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan menyifatkan pekerja yang terlibat dalam industri batik dan kraftangan terdedah kepada ancaman "pembunuh senyap".

Pengarahnya, Zulkafli Zainuddin berkata ia berpunca daripada penggunaan bahan kimi yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka jika terdedah untuk jangka masa panjang.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata bagi mengatasi masalah itu pihaknya kini berusaha meningkatkan kesedaran pada kalangan mereka di sektor tersebut untuk mengambil langkah keselamatan yang perlu.

"Kita menganggapkan mereka yang terlibat dalam industri batik dan kraftangan terdedah dengan ancaman penyakit kronik yang disifatkan sebagai 'pembunuh senyap'," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Industri Batik dan Kraftangan Negeri Kelantan 2010.

Selain mengadakan kursus dan seminar, beliau berkata pihaknya juga melawat premis perusahaan batik dan kraftangan di seluruh negeri bagi melihat sendiri tahap keselamatan di premis terbabit.

Namun sehingga kini katanya, hanya 23 daripada 700 premis telah dilawati.

"Bagaimanapun usaha ini akan dipertingkatkan apabila industri ini kini semakin mencapai tahap industri yang boleh dikomersialkan di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM)," katanya.

Artikel Lain