suria

Air Arabia Lancar Laluan Baharu Dari Kathmandu Ke KLIA

KATHMANDU: Air Arabia Airlines akan memperkenalkan satu laluan baharu menghubungkan Kathmandu dan Kuala Lumpur bagi mengambil kesempatan daripada peningkatan jumlah penumpang antara kedua-dua ibu negara.

Syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu akan melancarkan penerbangan sulungnya pada 16 Dis, yang akan memudahkan para pengembara terbang dari Sharjah di UAE ke Kathmandu di Nepal dan kemudiannya disambung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

"Wujud potensi kukuh bagi segmen ini dan jumlah jumlah penumpang yang besar pada kesemua pasaran dari Kathmandu ke Malaysia.

"Masih ada peluang bagi kemasukan satu lagi pesaing bagi memenuhi permintaan," kata Pengurus Negara (Nepal dan Bangladesh) Air Arabia Rajesh Narula.

"Sasaran kami ialah trafik MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran), pengembara liburan, golongan yang melawat Nepal dari Malaysia dan sejumlah penumpang pekerja," katanya kepada BERNAMA.

Syarikat itu akan menggunakan pesawat Airbus 320 dengan mengendalikan enam penerbangan seminggu ke destinasi itu.

Dari Malaysia, para penumpang akan terbang ke Sharjah selepas berhenti sebentar di Kathmandu, Nepal.

"Kami berkeyakinan terhadap Malaysia dan juga trafik dari Malaysia ke UAE. Kami menawarkan satu produk yang unik," kata Rajesh.

Kini, hanya syarikat penerbangan kebangsaan Nepal, Nepal Airlines, terbang pada laluan Kathmandu-KLIA.

Syarikat penerbangan itu tidak dapat melaksanakan rancangan menghubungkan laluan itu pada 2008. - BERNAMA

Artikel Lain