Yusof Haslam & Dayang Nurfaizah Contoh Artis Tiada Telefon Bimbit - Semasa | mStar

Yusof Haslam & Dayang Nurfaizah Contoh Artis Tiada Telefon Bimbit

Dayang Nurfaizah tidak menggunakan telefon bimbit sejak lima tahun lalu.
Dayang Nurfaizah tidak menggunakan telefon bimbit sejak lima tahun lalu.

TELEFON bimbit hari ini boleh diumpamakan seperti nyawa dalam diri seseorang. Malah budak-budak sekolah pun kebanyakannya sudah ada telefon bimbit.

Kata seorang teman Niezam, hidup kalau tak ada telefon boleh mati. Memang betul pun boleh mati apatah lagi bagi mereka yang tengah bercinta.

Dalam dunia artis, telefon merupakan alat perhubungan yang penting. Wartawan nak cari artis, perlu melalui telefon. Kalau tak ada telefon semua orang akan jadi susah apatah lagi jika ada kes-kes panas tengah-tengah malam.

Percaya atau tidak dalam dunia hiburan ini hanya dua orang sahaja yang tak ada telefon bimbit. Pertama, Datuk Yusof Haslam dan keduanya, Dayang Nurfaizah.

Mengikut sejarahnya, Datuk Yusof Haslam pernah pakai telefon bimbit. Tapi tak lama. Sebabnya Niezam malas nak bagi tahu tapi biarlah Niezam sahaja yang tahu. Kalau ada yang nak tahu sangat boleh rujuk dengan Datin Fatimah.

Datuk Yusof pernah bagi tahu Niezam, masa tak ada telefon bimbit dia macam nak gila. Selepas telefon bimbitnya hancur berkecai menjadi debu, dia buat keputusan tiada lagi telefon bimbit dalam hidupnya. Datin pun tak cemburu, betul tak Datuk?

Kalau ada sesiapa yang nak cari Datuk Yusof, boleh telefon rumah atau di pejabatnya sahaja. Kalau tak ada juga di pejabat atau di rumah, boleh telefon rakan baiknya A.Galak atau Aimi Jarr. Tak susah nak cari Datuk Yusof.

Begitu juga dengan Dayang. Sudah lima tahun dia tak pakai telefon. Alasannya selepas lima kali telefon dia hilang akibat tercicir, dia sudah naik angin.

Tiada lagi telefon bimbit dalam hidup. Kalau nak cari Dayang boleh telefon pengurusnya. Tak sampai sepuluh minit, mesti boleh bercakap dengan Dayang.

Niezam tabik kepada dua orang artis ini. Dia orang tak guna telefon ketika dunia sedang menuju kepada kemajuan teknologi yang serba canggih termasuk sistem 3D.

Walaupun tidak mengambil kesempatan terhadap kemajuan teknologi itu tetapi tidak susah untuk mendapatkan kedua-dua artis ini.

Soal mereka terpaksa menggunakan telefon orang lain untuk berhubung itu adalah perkara kedua tetapi yang penting walaupun tidak mempunyai telefon dalam poket masing-masing mereka sebenarnya boleh dikesan.

Sayangnya tak semua orang yang ada telefon dapat menggunakan kemudahan itu dengan baik. Walaupun telefon dibawa sampai ke dalam selimut ada setengahnya nak jawab telefon pun susah. Nak balas SMS jauh sekali.

Sesetengah artis menganggap telefon mereka sulit. Tak semua orang boleh berhubung dengan mereka tetapi hanya orang tertentu sahaja.

Kalau macam itu artis berkenaan perlu melakukan pendekatan macam Datuk Yusof dan Dayang Nurfaizah, tak payah pakai telefon bimbit langsung.

NIEZAM: Kring... kring.... siapa di sana?

Hebat orang Korea perlu jadi contoh

NIEZAM baru pulang dari Korea Selatan minggu lalu kerana mengikut percutian bersama syarikat penerbangan tambang murah AirAsia X. Apa yang Niezam puji mengenai orang Korea ialah cara mereka berfesyen.

Anak-anak muda di negara itu tampil dengan imej yang cukup menarik bersama mafela yang berwarna-warni serta penutup kepala yang trendy.

Imej-imej serabai yang selalunya ditampilkan oleh anak-anak muda negara kita memang tak ada di Korea.

Remaja mereka begitu aktif berfesyen. Di kawasan Dongdaemun terdapat dua pusat beli-belah yang hanya menjual pakaian.

Begitu juga kawasan Myeong-Dong yang dianggarkan kira-kira 1,500,000 orang berkunjung untuk membeli pakaian terutamanya golongan remaja.

Dek kerana kepandaian orang Korea berfesyenlah pelakon-pelakon dia kelihatan hebat di mata kita.

Sebagai contoh, drama Winter Sonata menjadi kegilaan ramai sehingga Pulau Nami yang menjadi lokasi penggambaran drama itu menjadi tumpuan pelancong asing.

Sama juga dengan drama Autumn In My Heart yang mampu menyuntik perasan cinta terhadap Korea di samping orangnya yang kacak serta cantik-cantik belaka.

Tapi kita tidak sedar, drama-drama Korea yang popular di negara ini atau di luar Korea tidak begitu popular di negara mereka. Tetapi kehebatan orang Korea mempromosikan negara mereka melalui drama adalah sesuatu yang luar biasa.

Mereka tidak perlu melakukan penggambaran di luar Korea cukup di dalam negara mereka sahaja dengan menjual wajah pelakon yang kacak dan cantik untuk menceritakan kepada orang ramai kehebatan Korea.

Syarikat produksi kita tak macam tu. Banyak penggambaran dilakukan di luar negara tetapi drama itu belum tentu dapat dijual di negara orang.

Kehebatan orang Korea dalam industri fesyen dan drama sepatutnya dijadikan panduan. Sebagai contoh bagaimana drama Stairway To Heaven yang begitu popular sehingga membuatkan syarikat produksi Filipina mengadaptasikan drama berkenaan dalam bahasa mereka dan menjualkannya kepada negara kita menggunakan tajuk serupa.

Begitu juga drama Robber of My Heart dan Perfect Neighbour yang sekarang di tayangkan di Astro.

Orang Korea menggunakan kebijaksanaan yang ada itu untuk mempromosikan negara hanya melalui drama mereka yang popular di seluruh Asia.

Kehebatan Korea itu sepatutnya dijadikan contoh macam mana kita perlu menggunakan elemen seni dalam mempromosikan negara.

Tapi sayangnya kita banyak menghabiskan wang untuk melakukan penggambaran di luar sedangkan kita tidak berjaya menjual drama kita kepada stesen-stesen televisyen luar.

NIEZAM: Apa khabar Duta Pelancongan Korea, Mawi?

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain