suria

Lebih Banyak Pangsapuri Kos Sederhana Di KL, Kata Datuk Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bercadang membina pangsapuri mampu milik kos sederhana di kawasan ibu negara untuk warga kota berpendapatan sederhana.

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kementerian melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti beberapa lokasi di sini dan sedang berbincang dengan pemaju-pemaju hartanah untuk melaksanakan projek itu.

"Kita prihatin dengan kehendak mereka yang berpendapatan sederhana ini. Golongan ini tidak layak untuk memohon rumah kos rendah tetapi juga tidak mampu untuk membeli rumah yang mahal," katanya.

Beliau tidak menjelas lanjut mengenai rancangan pembangunan pangsapuri itu, yang dianggarkan bernilai RM200,000 ke bawah seunit.

Terdahulu beliau menutup Karnival Bank Kedua bagi Program Penjualan Rumah Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Perumahan Awam DBKL di sini, hari ini.

Karnival yang disertai bank-bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan DBKL bertujuan memudahkan urusan permohonan pinjaman pembelian unit rumah kos rendah oleh penyewa.

Nong Chik berkata sehingga kini, kementerian telah mengeluarkan 23,000 surat tawaran kepada pembeli-pembeli yang berminat untuk membeli rumah-rumah yang ditawarkan itu.

Daripada jumlah itu, seramai 11,879 orang telah menyatakan persetujuan untuk membeli unit berkenaan.

"Ini ialah sebahagian daripada 44,146 unit rumah di bawah program penjualan rumah kerajaan yang bermula lebih setahun lalu," katanya.

Setakat ini, terdapat hampir 70,000 unit flet kos rendah yang diuruskan oleh DBKL di sekitar bandar raya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain