suria

42 GRO Warga Asing Ditahan Dalam Ops Noda

GEORGE TOWN: Dua wanita warga China yang mendakwa sedang menunggu visa pelajar dikeluarkan dan seorang wanita warga Vietnam yang sedang menunggu tarikh perbicaraan kerana pasportnya dirampas oleh mahkamah adalah antara 42 pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan di sebuah pusat hiburan, G-Planet dalam Ops Noda di sini malam Jumaat.

Pegawai Operasi, Asisten Supritendan Khairi Anuar Rosli berkata, operasi kira-kira pukul 10.45 malam itu dijalankan sepasukan polis daripada bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

"Ketika serbuan dilakukan, kesemua wanita itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang namun usaha mereka gagal kerana permis itu telah dikepung oleh anggota polis", katanya kepada pemberita di sini.

Dalam serbuan itu polis berjaya menahan 35 wanita warganegara China, lima Vietnam, manakala seorang dari Thailand dan Indonesia.

Siasatan awal mendapati pengusaha permis itu telah memasang lampu isyarat amaran di setiap bilik bagi memudahkan GRO melarikan diri ketika serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa. "Sebaik pihak polis berjaya memasuki pusat hiburan itu, mereka cuba melarikan diri namun usaha mereka untuk meloloskan diri gagal kerana kita telah melakukan persedian yang rapi,"katanya

Khairi Anuar berkata pemeriksaan yang dilakukan mendapati 27 daripada mereka telah memasuki ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial, enam orang pula menggunakan permit berkahwin dengan lelaki tempatan, seorang menggunakan visa pelajar kolej,seorang menggunakan visa sebagai pekerja restoran,seorang pasportnya dirampas oleh mahkamah manakala enam lagi tidak memiliki pasport masuk ke negara ini.

Polis turut menahan pengurus pusat hiburan berkenaan yang berusia 38 tahun, 15 pekerja dan 45 pelanggan untuk siasatan lanjut dan ujian air kencing.

Hasil pemeriksaan air kencing mendapati enam pelanggan positif dadah, kesemua GRO dan pengurus pusat hiburan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

Kesemua suspek akan disiasat dibawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit yang jika sabit kesalahan boleh dihukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pemilik premis berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit. - BERNAMA

Artikel Lain