suria

Malaysia Perlu Patuhi Piawaian Antarabangsa Untuk Ke Pasaran Global

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mematuhi piawaian antarabangsa bagi membolehkannya berkembang ke dalam pasaran global bersepadu, kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN).

Dalam laporan Model Baru Ekonomi Untuk Malaysia Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat, ia berkata kepentingan keselamatan makanan, amalan terbaik dalam pengurusan perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim juga menambahkan protokol antarabangsa baru yang boleh memberikan halangan bagi pengeksportan Malaysia ke pasaran global.

Langkah-langkah yang dicadangkan meliputi dua perkara iaitu mematuhi satu set piawaian antarabangsa dalam memudahkan hubungan ke rantaian penawaran dunia serta menjadikan Malaysia sebagai pengasas piawaian global ke atas produk-produk seperti makanan halal dan minyak sawit mampan.

Malaysia harus menerima pakai semua piawaian antarabangsa berkaitan, dan untuk setiap piawaian, sasarkan satu penambahbaikan akan berlaku di dalam 10 kedudukan pilihan teratas untuk melakukan perniagaan, dalam satu tempoh yang ditentukan.

Dalam sektor kewangan, Malaysia telah membuat satu komitmen untuk menjalankan Program Penilaian Sektor Kewangan (FSAP).

Ia mencadangkan Malaysia menjalankan penilaian pematuhan dalam semua 12 piawaian di bawah FSAP.

Ini meliputi julat piawaian pada fiskal, kewangan, tadbir urus korporat, perakaunan, sistem-sistem pembayaran, akses kepada kredit, hak-hak pemiutang dan piawaian keadaan insolvensi dan pasaran modal.

Dua piawaian terpenting ialah untuk ketelusan fiskal dan hak-hak pemiutang insolvensi (ICR).

Sebagai tambahan, Malaysia juga harus mengambil prinsip-prinsip pelaporan kredit yang bekerjasama dengan ICR bagi menyediakan dasar untuk kerangka institusi dan undang-undang untuk mengelak daripada amalan-amalan pinjaman berasaskan cagaran.

Malaysia perlu membuatkan ia sebagai satu keutamaan untuk menerimapakai Kod Amalan Baik pada Ketelusan Fiskal untuk mengenalpasti jurang dalam pengurusan fiskal baik dan mengambil tindakan pembetulan melindungi kejelasan peranan-peranan dan tanggungjawab, proses belanjawan terbuka, kemudahan informasi awam dan jaminan-jaminan integriti.

Menerimapakai garis panduan Tadbir Urus Korporat Entiti Pemilikan Negeri juga perlu dipraktikkan.

Terdapat pelbagai dimensi ke atas kemampanan, permohonan piawaian yang mempengaruhi dimensi sosial, ekonomi dan alam sekitar penting untuk membina satu persekitaran ekonomi supaya negara mencapai pertumbuhan mampan.

Untuk mengekalkan pertumbuhan, Malaysia kita perlu memelihara sumber asli negara dan perlindungan terhadap kepentingan generasi akan datang dipermudahkan dengan menggunakan penentuan harga sesuai, kawal selia dan dasar-dasar strategik untuk menguruskan sumber-sumber yang tidak boleh diperbaharui dengan cekap.

Malaysia perlu untuk menggariskan semua langkah dan sasaran yang konsisten dengan konvensyen PBB bagi melindungi persekitaran dan menumpukan kepada isu perubahan iklim seperti pengurangan sebaran asap kotor, penggalakan penggunaan teknologi-teknologi tenaga karbon rendah bagi mengurangkan pengeluaran karbon sebelum 40 peratus dan menguatkuasakan udara bersih dan piawaian air.

Untuk menyelaraskan kos perniagaan berkaitan buruh di Malaysia dengan pusat pengeluaran lain, dan mampu menarik tenaga kerja mahir dari luar negara, piawaian antarabangsa pada perundangan dan pengurusan tenaga kerja perlu diamalkan.

Kualiti buruh merupakan satu fungsi pendidikan dan pembangunan kemahiran sewaktu kerja.

Memastikan pematuhan kepada piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)terhadap kemudahan pendidikan dan kurikulum kursus dalam institusi pengajian Malaysia diperlukan.

Dalam jalur lebar, Malaysia sepatutnya menumpukan pada protokol-protokol asas, antara muka dan piawaian kebolehoperasian antara peralatan.

"Seperti yang diperhatikan dengan bertambahnya kesatuan komunikasi, pengkomputeran dan kandungan dalam peralatan, kita memerlukan piawaian untuk membolehkan ini," demikian menurut laporan itu.

Dalam industri hospitaliti, Malaysia perlu mengamalkan piawaian yang memberi impak kepada tahap perkhidmatan dalam industri hospitaliti, terutama dalam sektor pelancongan contohnya Kod Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang memastikan pelancongan bertanggungjawab ke atas alam sekitar, penilaian impak persekitaran, piawaian hotel hijau, piawaian makanan dan minuman, piawaian tandas awam, atau piawaian rumah tumpangan.

Dalam bidang pengeluaran makanan berasaskan agro, telah wujud kesedaran tentang keselamatan makanan dan piawaian persekitaran.

Oleh itu, adalah amat perlu bagi Malaysia untuk mengamalkan piawaian antarabangsa makanan agro pertanian dari piawaian pengeluaran dan pemprosesan makanan agro pertanian.

Berkongsi dengan EU, AS dan Jepun dalam membangunkan audit saling terima pakai bagi kemudahan pengeluaran dan pemprosesan makanan dan membangunkan satu senarai pengeluar-pengeluar layak, berdasarkan tanda aras piawaian antarabangsa.

Malaysia boleh mendapatkan semula reputasinya dalam sektor komoditi dengan mengembangkan piawaian untuk pengeluaran minyak sawit mampan.

Hasil daripada levi minyak sawit boleh digunakan untuk penyelidikan bagi mencapai objektif ini.

Pada masa ini, Malaysia membantu ke arah satu standard global untuk pensijilan halal dan sepatutnya memanfaatkan usaha-usaha ini dengan menukar piawaian Malaysia yang sedia wujud menjadi tanda aras pilihan bagi penerimaan oleh masyarakat dunia.

Tambahan pula, Malaysia mengetuai dalam pembangunan piawaian bagi penyampaian produk kewangan Islam.

Kepakaran Malaysia sepatutnya dikenali bagi dokumentasi yang cepat, tepat dan bertanggungjawab untuk pelbagai produk Islam a yang memenuhi piawaian dokumentasi transaksi antarabangsa, supaya Malaysia boleh menjadi pusat untuk penyumberan luar dalam mendokumentasikan transaksi-transaksi produk kewangan Islam dari mana-mana wilayah.

Rangka tindakan Malaysia dalam pelaksanaan piawaian dan pematuhannya telah diluluskan oleh Kabinet pada tahun 2004.

Bidang kuasa dan tanggungjawab penyeliaan adalah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI).

Memandangkan pematuhan piawaian adalah bersifat berjalin dan peluang bagi Malaysia menjadi penetap piawai dalam produk-produk halal dan minyak sawit, satu kajian semula terhadap penetapan piawaian dan kuasa pemantauan adalah diperlukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain