suria

Polis Tubuh Pasukan Khas Siasat Kes Bunuh Peguam Di Ipoh

IPOH: Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan Ibu pejabat Polis Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes pembunuhan seorang peguam di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata pihaknya memandang serius kes pembunuhan itu kerana ia membabitkan seseorang yang mempunyai kerjaya cukup dihormati.

"Pasukan Tugas Khas itu akan diketuai oleh Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ipoh," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan ada kemungkinan pembunuhan itu berkaitan dengan urusan kerja, bagaimanapun siasatan terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang kesimpulan diambil.

Dalam kejadian Selasa lepas, seorang peguam G.Balasunderam, 57, yang baru turun dari kereta di hadapan rumahnya selepas pulang dari pejabat, diserang oleh dua lelaki bertopeng di Taman Desa Rishah, Buntong di sini.

Balasunderam yang mengalami cedera parah meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada pukul 9 malam. - BERNAMA

Artikel Lain