suria

Dua Sahabat Karib Ditemui Lemas Di Sungai Gial

KANGAR: Dua pelajar ditemui mati lemas di Sungai Gial, Arau dekat sini hari ini, selepas dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga lagi rakan mereka.

Kehilangan kedua-dua mangsa Haswande Mohd Yusoff, 14, dan Ahmad Iqham Aziz, 9, disedari tiga rakan mereka pada 3 petang, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Arau, Supritendan Mohd Nadzri Hussin berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Alor Ara Timur yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian, dan mereka adalah sahabat karib.

"Gerakan mencari kedua-dua mangsa dilakukan oleh penduduk kampung sebaik sahaja mengetahui kehilangan mereka," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.

Beliau berkata, ketika polis tiba di lokasi kejadian, mayat mangsa telah ditemui penduduk kampung dan dibawa ke HTF untuk bedah siasat.

Sementara itu, abang Haswande iaitu Hasfizul Mohd Yusoff, 21, berkata beliau berada di rumah semasa kejadian, dan sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu, beliau terus bergegas ke Sungai Gial.

Katanya, semasa gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama penduduk kampung, kaki beliau tersentuh badan manusia di dasar sungai sedalam dua meter itu, dan membawa kepada penemuan mayat adiknya yang telah tidak bernyawa.

Beliau berkata, mayat Ahmad Iqham pula ditemui kira-kira 5 meter dari lokasi adiknya ditemui.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut menziarahi kedua-dua mangsa di bilik mayat HTF. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain