suria

Umat Islam Malaysia Di UAE Tunai Solat Aidiladha

DUBAI: Rakyat Malaysia beragama Islam di Dubai dan kawasan sekitarnya berhimpun di Pusat Dagangan Malaysia untuk menunaikan solat sunat Aidiladha, Selasa.

Mereka bersama-sama Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Ahmad Fadil Shamsuddin, dan ketua-ketua agensi kerajaan yang berpejabat di negara Teluk.

Kebanyakan mereka, yang turut membawa anggota keluarga masing-masing, berpakaian baju Melayu dan songket bagi kaum lelaki manakala kaum wanita kelihatan anggun berbaju kurung dan kebaya.

Selesai menunaikan solat, mereka mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan beramah mesra di antara satu sama lain sambil menikmati juadah dan makanan Malaysia.

Hari Raya Aidiladha disambut pada hari ke-10 bulan Zulhijjah, menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadah haji di Mekah dan bermulanya ibadah korban, yang boleh dilakukan sehingga hari ke-13 Zulhijjah.

My-UAE, persatuan rakyat Malaysia yang berada di Emiriah Arab Bersatu, dengan kerjasama badan bukan kerajaan, Yayasan Amal Malaysia, menyumbangkan lima ekor lembu dan 10 ekor kambing untuk ibadah korban di Eritrea sempena Aidiladha.

Perhimpunan rakyat Malaysia pada Selasa dianjurkan My-UAE dengan kerjasama Konsulat Jeneral di Dubai, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Majlis Perniagaan Malaysia di Dubai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain