suria

Hujahan Bantahan Awal Bekas Suami Norish Karman November

SHAH ALAM: Hujahan berhubung bantahan awal yang dikemukakan oleh bekas suami dramatis Singapura, Norish Karman akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada 25 November ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Syarie Mohammad Adib Husain pada Isnin, selepas membenarkan permohonan peguam syarie Amli Embong yang mewakili Norish untuk diberikan tarikh baru bagi tujuan tersebut.

Amli juga memberitahu, pihaknya telah memfailkan afidavit jawapan pada 1 September lalu terhadap bantahan oleh Datuk Hashimuddin Abdul Kadir berhubung tuntutan penjagaan kekal tiga orang anak mereka.

Pada prosiding itu, Amli turut menyebut bagi pihak peguam syarie yang mewakili Hashimuddin, Muhammad Buruk yang tidak dapat hadir kerana mempunyai kes sivil di mahkamah berlainan.

Hashimuddin, 61, yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan mengemukakan bantahan terhadap permohonan Norish, yang meliputi permohonan interlokutari (permohonan dalam permohonan) berkaitan isu persekolahan anak, sebuah kereta dan harta sepencarian.

Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman, 35, dan Hashimuddin berkahwin di Perlis pada 11 Januari 1998 dan sah bercerai pada 15 Julai 2008.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak, iaitu Muhammad Haqiem Amany, 11, Muhammad Hady Amieran, 7, dan Nur Hanyz Amanda, 6 tahun.

Artikel Lain