suria

Warga Emas Maut Dirempuh Kereta Api ETS Ketika Melintas

BATU GAJAH: Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta api laju Electric Train Set (ETS) ketika mangsa melintas di landasan kereta api berhampiran stesen kereta api Batu Gajah di sini Isnin.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 10.50 pagi tadi hanya dikenali sebagai Mani, 71 berasal dari sini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner (ACP) Najib Mohamad berkata, mangsa melintas landasan itu sambil mengheret basikalnya dan gagal menyelamatkan diri apabila dirempuh keretapi ETS yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Mangsa tercampak sejauh 10 meter dari tempat kejadian dan cedera parah dari muka hingga ke pinggang dan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.

Beliau berkata tiada sebarang identiti ditemui pada mayat mangsa dan meminta orang ramai atau waris mangsa menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah Ipoh di nombor telefon 05-3662222 untuk membantu siasatan.

Kereta api tersebut meneruskan perjalanan ke stesen kereta api Ipoh dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain