suria

Warga Singapura Didakwa Subahat Miliki Burung Tanpa Permit

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Jumaat, atas tuduhan bersubahat memiliki burung spesies terancam tanpa permit, dua bulan lepas.

Eng Chi Eng, 43, didakwa bersubahat dengan penjual kain dari Pakistan, Abdul Ghaffar terhadap dua pertuduhan iaitu memiliki dua ekor burung Cenderawasih dan memiliki dua helai bulu burung Kakak Tua di sebuah rumah beralamat D-4-23, Jalan Metro Perdana 2, Taman Usahawan, Kepong pada 3.30 petang, antara 12 Ogos dan 13 Ogos lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 47(1) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (a) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 bagi setiap haiwan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Shamsudin Osman menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Eng, Syed Fadzil Syed Shamsudin memohon jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira latar belakang keluarganya.

"Tertuduh yang bekerja sendiri mempunyai pendapatan tidak menentu dan perlu menyara dua orang anak, masing-masing berumur enam tahun dan 11 tahun yang masih bersekolah manakala isterinya pula tidak bekerja," katanya.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 11 Okt ini untuk sebutan kes.

Pada 22 Sept lepas, Abdul Ghaffar, didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah kerana memiliki burung spesies terancam tanpa permit itu pada Ogos lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Maut Rempuh Babi Hutan

Artikel Berikut

Artikel Lain