suria

Jasa Dan Khidmat Bakti Musa Hassan Pastinya Akan Terus Diingati

KUALA LUMPUR: Sekali pandang raut wajahnya, orang yang tidak mengenalinya mungkin merasakan beliau seorang yang tegas dan sukar didampingi.

Namun, siapa sangka di sebalik raut wajah itu, beliau sebenarnya seorang yang mesra dan cukup ramah.

Itulah gambaran yang boleh dibuat terhadap sikap pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Musa Hassan yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan esok selepas memegang jawatan itu lebih empat tahun sejak 12 September 2006.

Selepas lebih 41 tahun berkhidmat dalam bidang kepolisan dan memerah keringat membanteras jenayah demi keamanan negara, Musa, 58, akhirnya boleh 'menyimpan' baju seragam birunya dan berbangga dengan sumbangan yang telah ditaburkan dalam PDRM.

Hari ini, satu perbarisan perpisahan sempena persaraan beliau diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya dalam bidang kepolisan, Musa mula berkhidmat dalam pasukan polis sebagai seorang inspektor pada 11 November 1969.

Beliau yang berkelulusan undang-undang dari United Kingdom, kemudiannya meneruskan prestasi memberangsangkan dengan memegang beberapa jawatan penting dalam PDRM, termasuk sebagai Pegawai Pendakwa/Jenayah Melaka pada 1973.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Narkotik, Bukit Aman pada 1981, Pensyarah Maktab Polis Kuala Kubu Baharu pada 1986, Timbalan Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-undang Jenayah, Bukit Aman pada 1995 dan Ketua Polis Johor pada 2003.

Beliau juga diberi kepercayaan mengetuai pasukan yang menyiasat kes liwat dan rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

Pada 2004, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 2006 dan sebagai Ketua Polis Negara pada tahun berikutnya mengantikan Tan Sri Mohd Bakri Omar.

Musa yang memegang jawatan tertinggi PDRM itu selama lebih empat tahun akan bersara daripada kerjayanya berkuat kuasa esok dan akan digantikan oleh timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau sepatutnya bersara pada 13 September 2007, namun terus mendapat kepercayaan daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk kekal di kerusi Ketua Polis Negara.

Kredibiliti dan keupayaan beliau untuk membimbing PDRM ke tahap yang lebih tinggi dilihat faktor yang mendorong kerajaan melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatannya sehingga hari ini.

Beliau juga dilihat sebagai seorang pemimpin yang mempunyai integriti dan komitmen tinggi selain mempunyai pengalaman luas dan mampu membawa perubahan serta pembaharuan terhadap pasukan polis negara.

Atas kepercayaan yang diberi itu, Musa telah menyasar agenda membanteras serta menyelesaikan kes jenayah dengan lebih efisien termasuk tidak bertolak ansur dalam segala bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta rasuah dalam organisasi itu seperti yang dilafazkan dalam ikrarnya pada sambutan Hari Polis ke-202, pada 25 Mac tahun lepas.

Ikrar Ketua Polis Negara yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah PDRM itu, menjadi janji bahawa setiap pegawai dan anggota PDRM akan memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat terbela.

Selain itu, Musa turut meneruskan kesinambungan pelan Strategik Lima Tahun PDRM yang diperkenalkannya, yang dilaksanakan selepas beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

Pelan strategik itu turut menumpukan kepada perolehan logistik seperti peralatan moden dan meningkatkan kualiti penyiasatan terutamanya dalam bidang forensik.

Perjalanan kariernya yang panjang juga membawa Musa melalui pelbagai pengalaman mencabar dan pastinya boleh menjadi sebuah ceritera menarik untuk diteladani oleh warga PDRM.

Antaranya ialah kejayaan beliau memberkas seorang pengedar dadah dengan menyamar sebagai penarik beca dalam satu operasi membanteras sindiket pengedaran dadah sekitar tahun 80-an di Pulau Pinang yang berleluasa ketika itu.

Selain itu, beliau juga pernah bekerja bersama-sama dengan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar sebagai penjual air tebu dalam usaha memberkas pengedar dadah di sana.

Di kalangan media pula, Musa sememangnya sinonim dengan ayat 'do not speculate, we will investigate' (jangan timbulkan sebarang spekulasi biar polis siasat).

Oleh kerana itu, media sering dapat menafsirkan apa yang bakal diucapkan oleh Musa ketika ditanya berhubung sesuatu kes jenayah.

Melalui personaliti, kepimpinan dan jasa yang dicurahkan, pastinya nama 'Musa Hassan' akan sentiasa diingati terutamanya di kalangan warga PDRM yang pernah bekerja di bawah kepimpinannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut