suria

Makhamah Benarkan Empat Anak Angkat Pulang Berhari Raya Di Rumah

KUCHING: Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dan keluarganya menitiskan air mata apabila Mahkamah Kanak-kanak di sini, Selasa membenarkan empat anak angkat mereka pulang ke rumah setelah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama kira-kira dua bulan.

Majistret Maris Agan membenarkan mereka pulang selepas mendengar permohonan keluarga itu untuk membatalkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Kanak-kanak pada 27 Ogos.

Peguam yang mewakili ahli perniagaan berkenan, yang enggan dikenali memberitahu pemberita bahawa mahkamah itu mengetepikan perintah mahkamah sebelum ini dan membenarkan kanak-kanak terbabit diletakkan di bawah jagaan wakil ibu bapa mereka.

Katanya mahkamah itu juga memerintahkan setiap ibu bapa kanak-kanak terbabit menyediakan bon RM5,000 dan kanak-kanak berkenaan tidak boleh meninggalkan negara ini, manakala pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat pula akan melawat mereka sekali sebulan.

Empat kanak-kanak berkenaan yang berusia antara beberapa bulan dan 12 tahun, didakwa diambil sebagai anak angkat oleh ahli perniagaan itu dan isterinya, yang ditahan Julai lepas berhubung kegiatan sebuah kumpulan menjual bayi.

Kesemua kanak-kanak itu mempunyai sijil kelahiran, dua sebagai anak ahli perniagaan berkenaan, seorang sebagai anak kepada anak lelakinya dan seorang lagi sebagai anak kepada saudaranya.

Bagaimanapun, DNA mereka tidak sama dengan DNA mereka yang didawka sebagai ibu bapa kepada anak-anak itu.

Anggota keluarga berkenaan mengalirkan air mata dan berpelukan sesama mereka apabila mahkamah membenarkan empat kanak-kanak berkenaan pulang ke rumah untuk menyambut Aidilfitri.

Ahli perniagaan berumur 65 tahun itu dan isterinya, 43, kelihatan mencium dan memeluk kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun terbabit -- satu-satunya kanak-kanak terbabit yang hadir di mahkamah, Selasa.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, isteri ahli perniagaan itu berkata beliau gembira kerana kanak-kanak berkenaan dibenarkan pulang berhari raya bersama keluarga.

"Berterima kasih kepada Allah kerana anak-anak saya dapat keluar.

"Sebagai seorang ibu, memang rasa gembira kerana keempat-empat anak saya dapat balik ke rumah. Hari Raya pada tahun ini membawa banyak makna," katanya sebelum bergegas ke Rumah Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat dekat sini untuk membawa pulang empat kanak-kanak berkenaan.

Ahli perniagaan itu serta isterinya adalah antara 17 orang yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Pemerdagangan Kanak-kanak, berikutan penangkapan seorang wanita Indonesia yang didakwa cuba menjual seorang bayi perempuan kepada seorang anggota polis yang menyamar sebagai pembeli pada harga RM10,000 pada 12 Julai.

Kesemua suspek kemudiannya dibebaskan setelah tempoh reman mereka tamat dan setakat ini tidak seorangpun daripada mereka dihadapkan ke mahkamah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain