suria

Pondok Moden Jeli Bakal Dijadikan Pusat Tahfiz

JELI: Institusi Pondok Moden Jeli bakal dijadikan pusat tahfiz untuk golongan muda dan pusat mendalami ilmu agama bagi golongan tua dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed. Beliau berkata ianya bagi memenuhi permintaan yang semakin menggalakkan bukan saja daripada masyarakat setempat tetapi juga dari luar.

Buat masa ini Pondok Moden Jeli ini menerima pelajar daripada pelbagai peringkat termasuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang mahu mengikuti kursus agama, kata beliau kepada pemberita, di sini malam Jumaat.

Pondok Moden Jeli yang dibina pada 2008 di atas tapak seluas 1.6 hektar oleh Umno Jeli dengan kos RM500,000 itu, merupakan institusi pertama seumpamanya di negara ini.

Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama untuk lelaki dan perempuan, pusat itu ditubuh berasaskan institusi sekolah pondok yang banyak di Kelantan.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya juga merancang untuk menambah infrastruktur institusi itu pada masa depan.

"Kita secara perlahan-lahan dan berperingkat membangunkan pondok moden ini dan yang terbaru kita baru menyiapkan dewan untuk aktiviti perhimpunan yang bernilai RM300,000 dan mampu memuatkan seramai 300 orang.

"InsyaAllah kita akan cuba mendapatkan peruntukan yang lebih besar bagi membangunkan pondok moden ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain