suria

Saksi Akui Beliau Tulis Label Botol Air Kencing Ameng Sewaktu Saringan Awal

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Majistret di sini Rabu bahawa beliau yang menulis butiran label pada botol air kencing selepas mendapati air kencing penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng adalah positif dadah.

Lans Koperal Mohd Zaidi Azhari, 32, dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, yang merupakan saksi kelima kes itu, memberitahu mahkamah bahawa beliau menulis nama tertuduh dan kad pengenalan tertuduh pada label itu sewaktu ujian saringan awal air kencing itu dibuat pada 6 April lepas.

"Selepas ujian air kencing itu dibuat, tertuduh menyerahkan spesimen air kencing kepada Detektif Koperal Norazman Mohamed dan saya lihat Norazman mengambil 'test strip' (jalur ujian) dan mencelupnya ke dalam botol yang mengandungi air kencing tertuduh," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias.

"Insp Mohamad Nizan Mohamad Nor turut berada di pejabat pertanyaan JSJ Nketika ujian air kencing itu dibuat dan saya diberitahu oleh Mohamad Nizan bahawa keputusan ujian saringan awal itu menunjukkan tertuduh positif dadah," tambahnya.

Ketika disoal peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman, yang mewakili Ameng, adakah beliau cuba mereka-reka cerita dan memberi keterangan yang palsu berkenaan tulisan pada label itu, Mohd Zaidi memberitahu: "Saya tidak berbohong...saya yang menulis butiran pada label itu dan saya cam itu adalah tulisan saya".

Pada prosiding itu, Kamarul Zaman turut meminta Mohd Zaidi menulis kembali butiran yang didakwa ditulisnya pada sehelai kertas dengan keizinan mahkamah.

Kamarul Zaman memaklumkan kepada mahkamah bahawa tulisan saksi itu akan digunakannya ketika pihak pembelaan mengemukakan hujahan berkenaan kes itu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir kemudian menetapkan Jumaat depan ini pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis kepada mahkamah.

Pada 12 Mei lalu, Ameng, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 3.45 petang, 2 April lepas.

Penyanyi itu diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Ameng, yang pernah popular dengan lagu "Bourgenvilla" dan "Sampai Hati", didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain