suria

Tiga Lelaki Dihadap Ke Mahkamah Atas Dakwaan Merompak Dan Melepaskan Tembakan

ALOR SETAR: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan dengan niat ingin membunuh di sebuah kedai emas di Pendang dekat sini bulan lepas.

Marzuki Choo Abdullah, 30, Lim Kok Sin, 39, dan Zulkifly A. Rahman, 25, mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh itu.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kedai emas Amigo, No. 27 Pekan Tanah Merah, Pendang dekat sini pada pukul 12.30 petang 4 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang berjadual, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Majistret Nor Azah Idris menetapkan 24 Oktober ini sebagai tarikh sebutan kes di Mahkamah Tinggi di sini.

Tiada jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Md Nor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain