suria

Penjamin Juga Boleh Diisytihar Bankrap

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang menjadi penjamin juga boleh diisytiharkan bankrap sekiranya terdapat perintah mahkamah terhadap peminjam utama yang gagal melunaskan hutang.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, ia mungkin sukar dipercayai namun itulah hakikatnya menyebabkan banyak pihak terus mempersalahkan jabatan itu.

Menurut beliau, timbul suara tidak puas hati mengatakan Jabatan Insolvensi Malaysia bertindak zalim kerana turut memusnahkan kehidupan mereka yang tidak berhutang.

“Perlu diperjelaskan bahawa kami tidak membankrapkan mereka dan sebagai penjamin, mereka sepatutnya bertanggungjawab ke atas jaminan itu.

“Jika peminjam utama gagal membayar hutang maka penjamin perlu mengambil alih tanggungjawab itu,” katanya kepada Mingguan mStar, di sini.

Dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, seramai 81,908 individu diisytiharkan bankrap membabitkan jumlah hutang RM71.36 bilion.

Daripada jumlah tersebut, 4.66 peratus merupakan penjamin sosial manakala penjamin korporat 5.32 peratus.

Abdul Karim berkata, isu penjamin diisytiharkan bankrap menimbulkan pelbagai reaksi dan kekecohan kerana menyifatkan tindakan itu tidak adil.

Bagaimanapun katanya, kedudukan penjamin dipinda menerusi Akta Kebankrapan 1967 pada tahun 2003 telah mewujudkan perbezaan antara peminjam utama dan penjamin.

“Pindaan telah menjelaskan bahawa pemiutang tidak boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjamin secara terus kecuali boleh dibuktikan di mahkamah membabitkan hutang peminjam utama,” ujarnya.

Menurut beliau, Jabatan Insolvensi Malaysia turut mempunyai budi bicara bagi membantu penjamin keluar daripada status kebankrapan dengan persetujuan pemiutang.

Tambahnya lagi, rundingan bukan saja membabitkan permohonan pelepasan kebankrapan malah jumlah bayaran hutang yang perlu dijelaskan atau dividen.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah menjadi penjamin dan mengambil langkah berhati-hati.

“Paling penting, kita perlu tahu kemampuan untuk menjadi penjamin, mengenali siapa yang mahu berhutang dan keupayaannya untuk membuat bayaran.

“Jangan menjamin seseorang itu atas dasar kasihan kerana kesannya kelak tidak akan mengasihani kita. Buat keputusan dengan bijak,” kata Abdul Karim.

Mingguan mStar merupakan sisipan Bahasa Malaysia yang diterbitkan bersama akhbar The Sunday Star pada setiap hari Ahad.

Artikel Lain