Anggota Polis Ditahan Bersabit Kes Samun

KUALA LUMPUR: Seorang Konstable polis ditahan bersama dua lagi rakannya Khamis lepas, kerana disyaki melakukan jenayah samun di sekitar Petaling Jaya dan Gombak dua minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata anggota yang telah tiga tahun berkhidmat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua lagi lelaki lain yang berumur dalam lingkungan 20-an diberkas dalam satu serbuan di Gombak.

Anggota polis itu pernah digantung kerja kerana kerap tidak hadir bertugas.

"Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira sesiapa walaupun dia anggota kita dan jenayah yang dilakukannya ternyata telah mencemarkan imej pasukan ini," katanya selepas merasmikan Balai Polis Bandar Utama, Damansara di sini, Sabtu.

Mengenai perhimpunan 'Candle Light Vigil Aman' yang akan diadakan sekumpulan individu yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Gerakan Mansukan ISA (GMI), Khalid berkata ia hanya boleh dilakukan di tempat tertutup.

Beliau berkata jika didapati penganjur mengadakan perhimpunan itu di kawasan terbuka, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menahan mereka.

"Di Selangor, kita mendapat maklumat kumpulan itu mahu adakan perhimpunan di bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan sehingga kini tiada permit dikeluarkan untuk tujuan itu," katanya.

Selain di Selangor, perhimpunan 'Candle Light Vigil Aman' itu didakwa akan diadakan di beberapa lokasi termasuk di Dataran Bandaraya Ipoh, Perak dan Dataran Seremban, Negeri Sembilan malam Ahad.

Sementara itu, Balai Polis Bandar Utama yang mula beroperasi sejak minggu lepas itu dibina atas sumbangan Bandar Utama City Corporation (BUCC) Group.

Balai itu diketuai oleh Sjn Zulkifli Mohamad Noor dengan dibantu tujuh anggota.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengerusi BUCC Tan Sri Datuk Dr Teo Soo Cheng. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain