suria

PDRM Mahu Gazet Hak Eksklusif Seragam Biru

PETALING JAYA: Siapakah lelaki berpakaian biru? Di Malaysia, kemungkinan itu melibatkan sama ada anggota polis atau pegawai kastam, imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu pun Jabatan Penjara.

Atau, uniform biru boleh dikaitkan dengan pegawai penguatkuasa majlis perbandaran yang mengeluarkan saman parking, pegawai keselamatan lapangan terbang dan juga pengawal keselamatan di pusat membeli-belah.

Sementara polis di kebanyakan negara seluruh dunia lazimnya dibezakan mengikut warna seragam biru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tidak mempunyai hak eksklusif terhadap perkara itu.

Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan, Datuk Mortadza Nazarene berkata, integriti pasukan polis dalam bahaya berikutan tuduhan liar membabitkan anggota PDRM.

Ini kerana, katanya, orang awam tidak dapat membezakan anggota polis dengan pihak berkuasa lain.

“Integriti pasukan polis dalam bahaya. Ini satu isu. Kami mahu rakyat mudah membezakan anggota PDRM dengan yang lain," katanya.

Mortadza berkata, pihaknya menerima komplen daripada orang ramai berhubung kekasaran polis, tetapi hasil siasatan mendapati, kes itu berpunca daripada 'lelaki berseragam biru' membabitkan majlis daerah, agensi atau sektor swasta lain.

Menurut beliau, PDRM kini dalam usaha mendapatkan gazet bagi seragam polis agar hanya pihak tersebut mempunyai hak eksklusif terhadap penggunaannya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar turut mengesahkan perkara itu.

Beliau turut mengimbas satu insiden baru-baru ini di mana anggota polis ditubuh melakukan kekasaran, tetapi siasatan mendedahkan bahawa pihak yang terlibat adalah pengawal keselamatan sebuah pasar raya.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, isu tersebut boleh mengakibatkan masalah.

Sementara itu, pemeriksaan oleh Sunday Star menemui, seragam anggota polis bukan sahaja dijual secara terbuka malah sesiapa sahaja mudah mendapatkan lencana palsu, logo POLIS, jaket detektif dan gari.

Kaji selidik tidak rasmi turut mendapati bahawa kebanyakan orang gagal membezakan antara kelengkapan sebenar berbanding tiruan.

Justeru, Mortadza memberi amaran kepada premis yang menjual kelengkapan termasuk lencana dan alatan lain berkaitan polis.

"Sesiapa yang didapati memiliki barangan palsu berkenaan boleh didakwa," katanya.

Tambah beliau, terdapat beberapa kes orang awam menyamar sebagai polis dan menasihati orang ramai yang ditahan anggota berpakaian seragam agar meminta kad kuasa anggota terbabit bagi memastikan mereka benar-benar polis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain