suria

Pelakon Mana Diintai Di Rumah Urut?

MINGGU ini Niezam nak mulakan usik mengusik dengan menyiarkan sepatah kata daripada e-mel yang dikirimkan seorang pembaca. Baca ya!

“Sila beritahu pelakon lelaki ni, tolong tutup mulut. Kalau artis kena tangkap, bukan main nak bela. Jangan ingat aku ni tak tahu kerja buruk dia selama ini? Aku tunggu masa saja nak dedahkan. Ingat... sila jaga mulut.”

Seram dah terpacak bulu roma membaca e-mel itu. Niezam tak mahu siarkan semua kerana ia tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak bawah umur.

Menurut pengirim e-mel itu lagi dia sudah lama memerhatikan gelagat pelakon popular yang terkenal ini.

Pelakon ini selalu memberi kenyataan membela artis. Bila orang kata artis jahat dan tak boleh pakai satu sen pun, mulalah dia buka mulut dan bercakap banyak macam tong kosong.

Penghantar e-mel ini berkata lagi, kerana geram dengan kenyataan si pelakon yang seolah-olah nak tunjuk dunia artis ni baik sangat, dia sudah tak boleh duduk diam lagi.

Rupa-rupanya dia sudah mengintai gerak geri pelakon kacak ini sejak beberapa bulan lalu. Antara perbuatan buruk katanya, artis ini selalu berkunjung ke rumah urut yang turut menyediakan perkhidmatan “tuutttt”!

Kata pengirim e-mel itu lagi, dia sudah mengumpul beberapa keping gambar yang diambil dari jarak jauh untuk membuktikan artis yang banyak cakap ini memang tak boleh pakai.

“Aku tunggu masa saja nak dedahkan semua perkara ni,” tambahnya lagi.

Tak payahlah nak dedahkan macam tu. Artis ni pun dah nak kahwin. Nanti porak peranda pula masjid yang hendak dibina tu.

Jelas peminat tu, kalau si artis tak banyak cakap, dia pun kisah. Sebab bercakap tak serupa bikin tu la dia meradang sangat.

Kepada artis-artis kita, selepas ni kalau nak bercakap fikirlah dua, tiga kali. Masalahnya terlalu ramai yang bercakap tak serupa bikin.

Kadang-kadang pemimpin persatuan pun 2X5 juga. Bercakap selalu tinggi tapi habuk pun tarak!

Niezam: Cakap yang patut-patut

LAN PET PET... LAT PET PET!

Ha, ha, ha, minta maaf, nak sambung gelak lagi kah, kah, kah...! Maaf ya, kalau kita nak tergelak orang tua-tua kata tak boleh berhenti. Takut nanti urat saraf kejang.

Sebenarnya apa yang buat Niezam nak tergelak terbahak-bahak ni bila baca kenyataan pelawak yang kerja dia buat lawak tak kira masa.

Pendek kata pelawak ni kalau jumpa harimau pun, depan harimaulah dia nak melawak. Itulah habatnya Lan Pet Pet yang baru saja mendapat peluang pertama menjadi hero filem Zoo.

Niezam tak nak pertikai Lan jadi hero filem. Di Hollywood sana tu, soal hero bukan diukur kepada tua atau muda tetapi bakat. Selepas 14 tahun berlakon barulah Lan dapat jadi hero, itu sudah baik. Tahniah. Ada orang berlakon belum sempat sampai tua dah kena tendang ke tepi.

Tapi yang nak Niezam ceritakan di sini satu benda mengenai Lan yang tidak harus diikuti oleh anak-anak muda dan budak-budak di luar sana.

Walaupun mereka minat kepada Lan mereka kena jauhkan perkara buruk yang ada pada Lan ni.

Niezam terbaca satu kenyataan Lan dia menangis tengok binatang. Bagus, boleh dikatakan semua di antara kita akan ada sifat yang sama terhadap binatang terutama kepada haiwan-haiwan yang sakit.

Tapi Niezam bimbang seluruh rakyat Malaysia akan bertambah sakit kalau mereka mempunyai cita-cita macam Lan masa kecil. Kata Lan, cita-cita dia nak jadi Tarzan. Kih... kih... kih... memang nak tergelak.

Dalam banyak-banyak kerjaya, tak sangka ada juga orang yang mahu memilih Tarzan sebagai cita-citanya.

Kalau orang tu minat dengan binatang pun, pilihlah kerja sebagai penjaga zoo tak apa lagi. Kalau nak hebat, jadi pengarah zoo itu lagi la tak apa. Tapi janganlah pilih nak jadi Tarzan.

Bayangkan, Tarzan kerjanya duduk dalam hutan. Tarzan tak pakai seluar jenama Levi’s macam Lan pakai sekarang ni.

Kalau 1,000 kanak-kanak yang membaca kenyataan Lan itu terpengaruh nak jadi Tarzan macam Lan, akan huru-haralah dunia ni. Dan kalau 1,000 orang itu benar-benar jadi Tarzan, riuhlah KLCC dengar orang terpekik terlolong.

Bagaimanapun Niezam nak ucapkan tahniah kepada Lan. Dia seharusnya bersyukur kerana tidak menjadi Tarzan yang sebenar. Tuhan Maha kaya tidak memakbulkan doa Lan itu. Sebaliknya Tuhan memberi Lan peluang menjadi pelakon.

Dengan lakonanlah Lan bukan saja boleh jadi Tarzan tapi lebih pada Tarzan pun boleh.

Niezam: Aaaraaggghh!

NOH PUN BUSUK

Mamat ni satu hal pulak. Nak bergurau pun biarlah bertempat. Bergurau tak salah. Semua orang dalam dunia ni bergurau. Orang buta, orang bisu pun bergurau juga. Arnab, serigala pun bergurau.

Cuma yang tak boleh bergurau dalam dunia ni pasal mati. Bab-bab mati atau cerita orang mati adalah benda yang tak boleh dibawa bergurau. Dua benda tu saja. Yang lain okey.

Yang Niezam geleng kepala sampai nak tercabut urat tengkok ni mengenangkan seorang penyanyi bernama Noh bergurau. Ala... Noh... Noh kumpulan hujan. Hohh!

Noh menulis dalam satu nota “awak busuk” kepada peminat yang nak ambil autograf dia dalam satu persembahan. Peminat tu naik hantu dan minta Noh minta maaf.

Kepada peminat itu, perkara “busuk” macam tu tak payahlah minta maaf. Setakat Noh tulis perkataan “awak busuk” tu tak perlulah nak ambil hati.

Bukan apa, selepas ni awak boleh hantar 100 keping surat tulis ayat yang sama, Noh busuk. Niezam rasa Noh tak akan ambil hati sebab perangai Noh pun busuk juga.

Kalau orang yang baik perangai tidak akan bergurau sedemikian rupa apatah lagi dengan orang yang dia tak kenal.

Sikap Noh itu tidak mencerminkan dia budak cerdik sama macam lagu-lagunya yang yang tak membangunkan jiwa.

Artis-artis yang cerdik tak perlu bersekolah tinggi tetapi cukuplah dia ada sifat menghormati orang lain yang mungkin kurang cerdik berbanding dia.

Selepas ni kepada sesiapa saya yang dapat nota daripada artis yang macam itu, jangan ambil pusing.

Kalau Niezam jadi peminat tu, senyum saja. Niezam akan tulis surat kepada dia dan beritahu tak nak beli album dia lagi. Pada masa tu Niezam pasti, Noh tak boleh nak senyum sampai mati.

Niezam: Puji Nabi Noh.

* Sesiapa ada cerita menarik artis silalah hantar kepada e-mel: [email protected] atau SMS ke nombor 017-3813563

Artikel Sebelum

Artikel Lain